Pihak yang bijak memainkan naratif serta mengambil kesempatan atas kesilapan pihak lawan boleh menguasai GSPS atau “gerak saraf, perang saraf” untuk tujuan apapun termasuk politik. Menguasai GSPS bererti apapun naratif dan propaganda selepas ini akan lebih mudah dilaksanakan.
Ditambah baik sekiranya tindakan mengawal keadaan atau counter-narrative gagal dilakukan oleh pihak bertentangan, yang tentu memudahkan propaganda seterusnya dijalankan setelah naratif tertentu ditetapkan.
Lebih menambah peluang keberkesanan GSPS jika ‘peluru’ percuma pula diberikan, sama ada melalui tindakan atau kenyataan yang salah atau tidak bersesuaian. Mungkin juga berlaku akibat daripada ‘timing‘ atau waktu yang tidak sesuai.
Seperti dalam isu kalimah Allah, di mana kerajaan dilihat tersalah memilih waktu untuk menarik kembali rayuan. ‘Timing‘ bagi penarikan kembali ini benar-benar tidak kena pada masanya, malah mengundang kecaman kepada kerajaan. Amat malang kerana kerajaan seolah-olah terlepas pandang mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.
Kerajaan juga dilihat lambat bertindak balas bagi mengekang naratif salah serta persepsi dan sangkaan buruk rakyat yang kemudiannya berkembang menjadi kebencian. Daripada kes mahkamah Jill Ireland melawan Menteri, Kementerian Dalam Negeri, ia membarah menjadi polemik “kalimah Allah dibenar untuk digunakan oleh orang bukan Islam” – sedangkan realitinya bukanlah itu yang berlaku.
Namun ini semua tidak penting lagi ketika ini kerana kerajaan sudah tersilap langkah daripada awal, maka pilihan yang tinggal ketika ini hanya lah melalui counter-narrative. Namun jika inipun gagal, maka bersedialah kerajaan dihukum rakyat pada PRN nanti.
Kelemahan counter-narrative ini hanya memburukkan keadaan, kerana isu kalimah Allah sudahpun memburuk serta mengundang kecaman asatizah yang dahulunya dalam kerajaan. Beberapa NGO Islam juga membantah, yang sebenarnya mereka sendiri tidak memahami isu sebenar yang berlaku di sebalik penarikan rayuan tersebut.
Dalam mengawal dan mengekang naratif salah yang berlaku ini kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif kerana rakyat di luar yang keliru ketika ini lebih mudah mempercayai mereka berbanding kerajaan.
Segera tangani isu ini kerana sudah ada pihak mengambil kesempatan dengan melancarkan propaganda kononnya Kerajaan Perpaduan tidak mampu membela umat Islam di negara ini. Propaganda mereka kononnya kini rakyat kecewa dengan apa yang berlaku terhadap kerajaan termasuklah dalam isu kalimah Allah, konsert Coldplay dan sebagainya.
Sedangkan pada zaman mereka memerintah bersama Perdana Menteri tertua di dunia itulah aset umat Islam dan negara seperti Tabung Haji dan Petronas habis dijarah, ICERD dan Statut Rom mahu diratifikasikan sehingga mencetus bantahan besar-besaran. Ini termasuk insiden menyayat hati penjawat awam terbunuh akibat rusuhan, yang tidakpun mampu dibela oleh mereka sehingga ke hari ini.
Lebih hipokrit, salah satu parti yang kononnya memperjuangkan Islam itu sendiri pernah membenarkan kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam pada tahun 2013 – yang turut menjadi punca kepada ‘kekalutan’ sehingga ke hari ini.
Realitinya, perkara ini terjadi bukan kerana mereka bijak dalam GSPS, propaganda ataupun mencipta naratif tetapi ia berlaku apabila kerajaan tersilap memberi ‘peluru percuma’ kepada mereka.
Jangan lupa antara sebab Barisan Nasional tumbang pada PRU-14 lepas ialah kerana perang saraf gerak sarafnya tidak berjaya, counter-narrative teruk serta ‘propaganda putih’ kerajaan melalui JASA gagal mengatasi fitnah dan tohmahan Pakatan Harapan.
Justeru, dengan counter-narrative yang baik nescaya kerajaan berupaya menguasai GSPS dan mampu mengekang naratif salah yang tersebar, sekaligus memastikan propaganda ‘kelabu’ dan ‘hitam’ pihak lawan dapat ditangani dengan berkesan.