Bolivia yang kini berdepan dengan krisis kekurangan dolar yang menjejaskan negaranya, kini menumbangkan cadangan untuk mengembangkan perdagangan asingnya bersama China dengan menggunakan matawang Yuan.
Dalam masa yang sama para usahawan di Santa Cruz, yang turut dikenali sebagai enjin ekonomi negara, mengalu-alukan penubuhan sebuah bank dari negara gergasi Asia itu di Bolivia.
Presiden Bolivia Luis Arce dan wakil sektor perniagaan mereka turut bersetuju untuk memasukkan Yuan China dalam perdagangan antarabangsa antara kedua-dua negara, seperti yang telah dilakukan oleh negara Amerika Selatan yang lain, seperti Brazil dan Argentina.
“Dua ekonomi terbesar di rantau ini sudah menjalankan urus niaga dalam Yuan dalam perjanjian dengan China. Dan ini adalah trend di rantau ini,” menurut Arce dalam sidang akhbar sempena Hari Wartawan Bolivia pada 11 Mei lepas.
Dengan berbuat demikian, mereka berhasrat untuk beralih daripada dolar AS sebagai satu-satunya mata wang pertukaran antarabangsa. Keputusan ini dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah mata wang yang dihadapi oleh beberapa negara Amerika Latin.
Secara hipotesis, penggunaan Yuan ini juga akan memberi manfaat kepada kewangan Bolivia, yang kini mengalami kekurangan mata wang AS, jelas Presiden Arce.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Duta Besar China ke Bolivia Huang Yazhong telah mengadakan pertemuan dengan ahli perniagaan Santa Cruz untuk menilai penggunaan Yuan dalam perdagangan dua hala.
Ini termasuk kemungkinan China menubuhkan sebuah bank di Bolivia bagi memudahkan segala urusan berkaitan, seperti dilaporkan agensi berita Sputnik.