Assalamualaikum dan salam sejahtera
Anak muda menyambut baik pandangan dan saranan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu anak muda menilai siapa pemimpin yang akan dipilih pada pilihan raya terutamanya di PRN 6 negeri yang akan datang tidak lama lagi.
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dilihat paling mencabar selepas negara dilanda dengan pelbagai konflik selepas PRU-14 kini telah membawa perubahan kepada 32.7 juta rakyat Malaysia dengan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.
Hasil empat gabungan politik yang telah memeterai perjanjian bagi mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU-15. Untuk menjamin kesejahteraan, pembangunan dan kemajuan sesebuah negara itu terletak kepada barisan kepimpinan yang menerajui pentadbiran negara tersebut.
Segala dasar dan polisi yang akan diwujudkan nanti juga bergantung kepada kemampuan dan kebijiaksanaan para pemimpin yang memerintah.
Oleh itu, rakyat perlu memilih pemimpin yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat, bukan hanya retorik semata-mata. Hal ini demikian kerana kita tidak mahu kerajaan yang idealis tetapi kita mahukan kerajaan yang realis.
Kerajaan yang mampu menunaikan perkara dalam manifesto yang diperjuangkan dan melaksanaan segala janji-janji mereka kepada rakyat.
Pentingnya untuk rakyat pastikan calon-calon yang akan dipilih pada PRN nanti adalah individu yang bersih daripada rasuah, bertanggungjawab, sedia membela nasib rakyat, berintegriti, jujur dan bijak untuk melaksanakan mandat rakyat kelak.
Saya juga menyokong penuh supaya lebih ramai lagi calon-calon muda perlu diberi ruang dan peluang untuk bertanding dalam PRN kali ini.
Calon-calon muda ini perlu diketengahkan supaya dapat membawa idea dan nafas baru dalam mencorak masa hadapan negara.
Bakat pemimpin muda perlu diiktiraf bukan sahaja sebagai pemimpin pada masa hadapan tetapi juga pemimpin hari ini melalui keterbukaan mereka dalam menyertai mana-mana parti.
Pelaksanaan Undi18 juga semestinya akan menjadi pemangkin keberkesanan pimpinan negara pada akan datang.
Golongan muda merupakan agen yang bakal menentukan pentadbiran negara pada masa hadapan sekaligus mencorakkan perubahan pimpinan yang lebih progresif.
Sekian, terima kasih.
Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri
Pengarah
Majlis Mahasiswa Anak Pulau Pinang