KEWAJIPAN MENTAATI ULIL AMRI – DR. RAMALAN YUNUS

134
SHARES
432
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Masih ada pihak yang terus mempersoalkan kenyataan saya bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah dari titah dan perkenan YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu. Maka atas dasar itu saya berpandangan bahawa semua pihak berkewajipan untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.

Ini kerana bagi saya, mentaati Ulil Amri pada perkara yang maaruf dan yang berkaitan dengan maslahat umat adalah merupakan perintah agama. Mentaati pemerintah atau Ulil Amri adalah merupakan salah satu dari tuntutan syarak. Banyak nas dari Al-Quran dan As-Sunnah mengenai perkara ini.

Maksudnya: Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) Ulil Amri (para pemimpin) dari kalangan kamu. – Surah An-Nisa’ (59)

Para ulama tafsir dalam mengupas ayat ini menyatakan bahawa ketaatan kepada Ulil Amri adalah terikat dengan ketaatan mereka kepada Allah SWT dan Rasul-NYA. Oleh yang demikian maka ketaatan terhadap perintah atau arahan dari pemerintah @ Ulil Amri adalah atas perkara-perkara yang maaruf sahaja dan tidak bertentangan dengan syarak.

Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA.

Rasulullah SAW bersabda;

Maksudnya: Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan satu perkara yang hak (kemestian) selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada maksiat maka tidak wajib dengar dan taat (pada arahan tersebut).Riwayat Al Bukhari (2955)

Kesimpulannya, sebarang arahan, cadangan atau nasihat yang dikeluarkan oleh pemerintah itu merupakan satu kemaarufan, kebaikan dan mendatangkan maslahat kepada umat atau rakyat maka sama ada arahan, cadangan atau nasihat itu kita suka ataupun tidak maka hukumnya ia wajib dipatuhi.

Ini bertepatan dengan kaedah fekah yang masyhur;

Maksudnya: Urus tadbir pemerintah adalah terikat dengan maslahat.

Dalam syarah Sheikh Shihabuddin Al Qasthallani mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar itu, beliau menyatakan bahawa: ” Ketaatan kepada arahan-arahan pemerintah itu adalah wajib dan ini meliputi pemerintah umat Islam di zaman Rasulullah SAW dan juga selepas baginda selama mana suruhan tersebut bukan terhadap maksiat.” – Rujuk Irsyad Al Sari li Syrah Al Qasthallani (5/119)

Maka apabila Parlimen Malaysia tergantung pasca PRU-15 kerana tidak ada satupun gabungan parti-parti politik yang berjaya memperolehi undi majoriti mudah iaitu sebanyak 112 kerusi apakah tidak wajar bagi YDP Agong untuk menitahkan agar sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk?

Apakah itu bukan untuk kebaikan dan maslahat umat Islam dan rakyat Malaysia?

Adakah menitahkan DS Anwar untuk mendapatkan sokongan dari parti-parti lain bagi membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan adalah merupakan satu kemaksiatan terhadap Allah SWT dan Rasul-NYA?

Apakah melantik DS Anwar Ibrahim yang telah jelas mendapat sokongan majoriti adalah merupakan satu kemaksiatan terhadap Allah SWT dan Rasul-NYA?

Apakah DS Anwar Ibrahim itu tidak lebih baik dari TS Muhyiddin Yassin yang sudah jelas terbukti sebagai PM Malaysia yang paling gagal?

Apakah perbuatan saya menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia agar patuh dan menjunjung titah dan Perkenan YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu merupakan satu kemaksiatan terhadap Allah SWT dan Rasul-NYA?

Maka soalan saya kepada golongan yang masih terus ingkar dan masih mempertikaikan Titah dan Perkenan YDPA dan Majlis Raja-raja Melayu dan mempersoalkan kenyataan saya mengenai kewajipan menjunjung titah dan perkenan tersebut, sampai bila mahu terus menjadi penderhaka kepada Allah, Rasul-NYA dan Ulil Amri?

Sampai bila mahu terus tidak beriman dengan Allah dan Rasul-NYA dalam bermasyarakat dan bernegara? Sampai bila mahu terus menjadi golongan munafik?

Ingat! Bahawa Saidina Abu Bakar RA, Khalifah Ar Rasyiddin yang pertama selepas Rasulullah SAW telah memerangi golongan munafik dengan mata pedangnya. Saranan saya, segeralah bertaubat dan memohon keampunan dari Allah SWT, Rasul-NYA dan para Ulil Amri sebelum terlambat.

Maut datang kepada kita tanpa berunding terlebih dahulu dengan kita dan tanpa memerlukan keizinan dari kita. Saya doakan semoga anda semua diberikan taufik dan hidayah oleh Allah SWT.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik dan ekonomi bebas

27 Mei 2023

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts