Usaha pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional yang kecewa apabila gagal memerintah untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan akan terus digiatkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.
Ini kerana Perikatan Nasional yang amat yakin mereka akan mengulangi sejarah ‘menang besar’ pada PRU-15, akan memainkan naratif bahawa majoriti rakyat kini menolak Kerajaan Perpaduan yang diterjemahkan melalui undi.
Selain itu, ketika ini masing-masing kononnya “menyimpan peluru” yang akan digunakan apabila tiba masanya kelak, sedangkan hakikatnya terkial-kial mencari usaha terbaik untuk “menebuk atap”, sepertimana yang dilakukan kepada kerajaan Pakatan Harapan.
Malah ‘arkitek’ yang sama juga akan menggunakan pelan “scheme of things” mereka untuk menukar kerajaan, cuma kali ini wujud dua kompleksiti yang terpaksa mereka hadapi terlebih dahulu.
Pertama, isu Akta Lompat Parti yang sudah dikuatkuasakan, maka tidak semudah itu usaha ‘membeli’ Ahli Parlimen mahu dilakukan. Cara lain bagi mengatasi masalah ini ialah melalui adu-domba dalaman dan cubaan menyingkirkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi oleh mereka yang berkiblatkan Perikatan Nasional.
Jika ini dilihat sukar, mereka akan cuba memujuk Sarawak dan Sabah bersama mereka di mana gerak kerja ini sudahpun dimulakan dan bukan lagi rahsia dalam kalangan rakyat.
Kedua, isu kekangan dana apabila akaun Bersatu banyak dibekukan apabila pemimpin-pemimpin utamanya disiasat pihak berkuasa atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, namun ada pihak mengatakan dana mereka masih ada yang akan digunakan pada PRN kelak.
Rakyat masih belum lupa dana besar Perikatan Nasional yang digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, yang sebegitu boros dan keterlaluan dibelanjakan. Apabila ada bukti video tawaran wang diberi kepada pengundi-pengundi, dengan mudahnya mereka kata ia sebagai ‘sedekah’.
Apapun, semoga kerajaan mampu bertahan di sebalik pelbagai usaha mahu menumbangkannya, seperti mana titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang berharap agar tiada lagi pertukaran Perdana Menteri, sekaligus menjamin stabiliti kerajaan yang ada pada hari ini.