Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Seremban telah dipilih sebagai lokasi Program Nomad Digital anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Jabatan Perdana Menteri bagi tahun 2023, edisi Negeri Sembilan.
Dengan penyertaan seramai 60 orang pelajar, dibantu oleh 10 lagi pelajar dari persatuan Event Management Organizer (EMO) IPG serta guru-guru pengiring, program kelolaan Bahagian Media Sosial dan Media Baharu (BMSMB), J-KOM ini telah berlangsung dengan penuh gemilang pada 16 dan 17 Jun 2023.
Program berkonsepkan explorace ini mempunyai 5 titik semak (checkpoint) yang mempunyai tugasan perlu diselesaikan oleh setiap ahli kumpulan bagi membolehkan mereka mendapatkan ‘stamp card’ untuk mara ke titik semak seterusnya.
Kumpulan yang berjaya dinobatkan sebagai juara pada edisi kali ini adalah kumpulan DND (Do Not Disturb) yang berjaya menjadi kumpulan terpantas menyiapkan tugasan sekaligus merangkul gelaran juara pada edisi kedua program ini.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Pengarah BMSMB, Puan Rohani Chik dengan ucapan aluan penuh berinformasi turut disampaikan oleh Pengarah IPG Kampus Raja Melewar, YBrs. Encik Mohamad Zaidi Bin Ishak.
Tahniah diucapkan buat semua pemenang dan nantikan edisi seterusnya di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.