HASIL KENAIKAN CUKAI PERKHIDMATAN AKAN DIKEMBALIKAN KEPADA RAKYAT

339
SHARES
2k
VIEWS

1. Pengumuman kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus meliputi logistik, pembrokeran, penaja-jaminan dan karaoke pada pembentangan Belanjawan MADANI 2024 tempoh hari jelas menggusarkan hati rakyat. Malah, ia juga memberi tanggapan buruk kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

2. Namun begitu, menurut pandangan firma-firma perunding cukai, kenaikan kadar cukai ini mampu meningkatkan hasil untuk perbelanjaan negara tanpa memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tetapi dalam masa yang sama ia juga boleh menyebabkan kos yang lebih tinggi untuk pengguna dan perniagaan.

3. Namun demikian, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, hasil yang diperoleh melalui kenaikan kadar cukai perkhidmatan itu akan dikembalikan kepada rakyat menerusi beberapa inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 termasuklah sistem MySawit, MyExcise Fasa Dua dan Cubic kelolaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dilancarkan pada hari ini, 20 Oktober 2023.

4. Kenaikan kadar cukai itu juga secara tidak langsung bertujuan untuk mereformasikan ekonomi negara dan tidak perlu untuk digeruni ekoran ianya tidak membabitkan makanan, minuman dan telekomunikasi yang menjadi keperluan asas rakyat.

5. Bagi mendapatkan pendapat yang sahih dari akar umbi, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan kerjasama Pejabat Zon telah melaksanakan suatu kajian berkenaan pendapat rakyat mengenai kewajaran kenaikan kadar cukai perkhidmatan ini. Seramai 6,527 responden daripada seluruh negeri dalam Malaysia telah mengambil bahagian melengkapkan maklum balas berhubung isu ini.

6. Dapatan kajian mendapati, sebanyak 89.1 peratus bersetuju agar kadar cukai dikekalkan sebanyak enam peratus dan tidak dinaikkan, malah sebanyak 89.3 peratus mengakui merasa terbeban dek kenaikan kadar ini. Namun begitu, hampir 90 peratus bersetuju bahawa kenaikan cukai perkhidmatan membawa hasil yang baik untuk negara salurkan kepada rakyat. Ia jelas menggambarkan bahawa rakyat empati dengan bebanan hutang negara.

7. Sementara itu, lebih separuh responden meminta agar kerajaan tidak memperkenalkan sistem cukai baharu, sebaliknya berusaha menambah baik cukai sedia ada. Ia bertepatan dengan apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan kini. Bahkan, maklum balas daripada responden turut meminta agar kerajaan mengutamakan sektor pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur dan prasarana awam serta perumahan sebagai penerima utama hasil cukai berkenaan.

8. Ia disusuli oleh sektor ekonomi iaitu pembangunan perusahaan kecil mikro dan sederhana (PMKS) bandar dan luar bandar bagi meneruskan kelangsungan perusahaan mereka. Tidak ketinggalan juga harapan rakyat agar hasil ini mampu untuk disalurkan kembali kepada mereka melalui subsidi, bantuan-bantuan tunai serta inisiatif seperti Payung RAHMAH yang sememangnya mendapat perhatian rakyat.

9. Kesimpulannya, kenaikan kadar cukai perkhidmatan yang diumumkan oleh Kerajaan Perpaduan bukanlah bersifat sia-sia apatah lagi mahu menyusahkan rakyat, namun ia secara langsung dapat dikembalikan semula kepada golongan rentan dan kurang berkemampuan.

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts