YANG DIKEJAR TIDAK DAPAT, YANG DIKENDONG BERCICIRAN – DR. RAMALAN YUNUS

172
SHARES
554
VIEWS

Saya masih berpegang kepada bacaan awal saya iaitu keputusan PRN ini akan tetap kekal 3-3. Biarpun slogan Penyatuan Melayu terus berkumandang mengiringi setiap kempen PN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan namun saya kira kedudukan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak goyah.

Malah sebenarnya kedudukan PN di Kedah yang kelihatan goyah kerana imej buruk ‘hero’ PAS masa kini iaitu Dato’ Seri Sanusi Md Nor. Saya optimis Kerajaan Perpaduan akan mulai bertapak dengan kukuh di Kedah selepas PRN kali ini.

Yang paling tidak terduga ialah angin perubahan politik yang sedang bertiup ke arah negeri-negeri di Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan. Biarpun angin perubahan yang bergerak ke arah Terengganu dan Kelantan itu agak sepoi-sepoi bahasa namun ia sesuatu yang tidak terduga sebelum PRN.

Di Terengganu sudah muncul satu harapan baru dengan kehadiran Dato’ Seri Jailani Johari dan calon – calon muka baru yang tidak sealiran dengan ‘warlord’ UMNO Dato’ Seri Ahmad Said.

Ini memberikan harapan baru kepada sebahagian besar rakyat Terengganu yang mahukan sebuah pentadbiran negeri yang selaras dengan pentadbiran pusat dan anti dengan Dato’ Seri Ahmad Said. Biarpun pentadbiran Terengganu pada hari ini dikuasai oleh PAS namun rakyat Terengganu tidak fanatik kepada PAS seperti di Kelantan.

Dengan kehadiran muka-muka baru yang diterajui oleh Dato’ Seri Jailani Johari dan dengan manifesto Kerajaan Perpaduan yang begitu baik dan mesra rakyat saya yakin Terengganu berpotensi untuk memberi kejutan.

Kelantan juga agak mengejutkan semua pihak pada hari ini. Tidak ada sesiapa yang menyangka bahawa akan wujud perpecahan di dalam PAS Kelantan. Banyak pihak melihat apabila Nik Abduh tidak dicalonkan, ada gerakan dari PAS pusat dan Kelantan untuk menyingkirkan legasi Almarhum Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan dan juga dalam PAS.

Ini kerana ada pihak yang sudah sekian lama merasakan bahawa Nik Abduh lebih sesuai memimpin PAS berbanding Tan Sri Abdul Hadi Awang. Ramai di kalangan Tok-tok Guru Pondok yang berpegang kepada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah baik di Kelantan mahupun di Kedah yang tidak senang dengan pendekatan ekstrem yang dibawa oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Satu lagi faktor perpecahan yang mulai kelihatan di dalam PAS adalah ramai juga di kalangan para penyokong PAS di peringkat akar umbi yang tidak senang dengan kerjasama antara PAS dan Tun Mahathir.

Saya kira Perikatan Nasional sudah salah strategi dalam PRN pada kali ini. Kalau mereka mahu terus memainkan sentimen Penyatuan Melayu dan Melayu Sudah Bangkit, mereka seharusnya menumpukan segenap usaha untuk mengambil alih pentadbiran di Pulau Pinang. Bukan di Selangor.

Dengan menumpukan usaha di Pulau Pinang ini secara tidak langsung akan meningkatkan sentimen pengundi Melayu di negeri-negeri lain. Saya nyatakan ini kerana saya ingin melihat PN menang 6-0 pada PRN kali ini. Ini kerana apa faedahnya kalau PN cuma menang 4-2 atau 5-1 sahaja?

Kalau setakat menang 4-2 atau 5-1, PN tidak akan berupaya mengubah apa-apa. Itu berbeza dengan kemenangan mutlak 6-0 pada PRN kali ini. PN akan berjaya menunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Kerajaan Perpaduan sudah ditolak 100 peratus pada PRN kali ini.

Sekiranya keputusan pada PRN kali ini kekal 3-3, saya menjangkakan PN akan berpecah dalam temph 3 ke 4 bulan selepas PRN. Ini kerana tidak ada apa yang mampu ditawarkan oleh PN untuk survival politik mereka selain dari dari retorik dan slogan Penyatuan Melayu.

Track record prestasi para pemimpin PN yang dilihat gagal sewaktu menjadi kerajaan selama 33 bulan tidak menjanjikan apa-apa kepada rakyat Malaysia khususnya kepada para pengundi baru pada PRN 16 nanti.

Istilah ‘kakistokrasi’ itu lebih sesuai untuk PN berbanding untuk Kerajaan Perpaduan yang kelihatannya sudah berjaya meletakkan ekonomi negara ke landasan yang betul.

Sekiranya para pengundi pada PRN kali ini lebih memilih isu pemulihan ekonomi berbanding retorik Penyatuan Melayu versi Tun Mahathir dan PN, tidak mustahil Kerajaan Perpaduan mampu menang 4-2 kalau tidak 5-1.

Dalam dunia politik segalanya mungkin.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts