ISU BEKALAN BERAS: ADAKAH KAKITANGAN AWAM DIKUASAI KARTEL? – DR. RAMALAN YUNUS

460
SHARES
2.7k
VIEWS

Banyak rungutan di pelbagai media sosial mengenai kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Lebih malang lagi apabila isu ini dimainkan seolah-olah ia berpunca dari kegagalan pihak kerajaan.

Jadi persoalannya sekarang, adakah isu bekalan beras di pasaran dan juga bekalan makanan yang lain adalah soal dasar kerajaan atau soal kelemahan dalam sistem penyampaian?

Sebenarnya isu bekalan makanan di pasaran yang berlaku ketika ini bukan isu dasar kerajaan tetapi ia merupakan isu kelemahan dalam sistem penyampaiannya.

Ini isu yang berkaitan dengan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang. Bukan soal dasar-dasar kerajaan. Isu ini di peringkat kakitangan awam. Bukan isu di peringkat Menteri atau orang politik.

Kerajaan bersilih ganti dan menteri datang dan pergi. Tetapi kakitangan awam di kementerian kekal di situ sehingga berpuluh-puluh tahun lamanya. Mana mungkin mereka tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di pasaran?

Seharus Ketua Pengarah Kementerian dan kakitangan awam yang berada di bawahnya yang harus bertanggungjawab dalam isu ini. Ini merupakan bidang kuasa pegawai-pegawai di kementerian. Bukannya Menteri atau orang politik.

Apa yang harus diperhatikan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang seperti PDRM dan SPRM ialah adakah berlaku pakatan di antara kakitangan awam dan pihak kartel yang menguasai bekalan beras dan juga bekalan makanan lain yang ada di pasaran?

Persatuan-persatuan pengguna seperti FOMCA dan PPIM tentunya lebih mengetahui bahawa pasaran bekalan bahan makanan di Malaysia telah dikuasai oleh pihak kartel sejak sekian lama.

PPIM adalah antara persatuan pengguna yang begitu aktif mendedahkan adanya penguasaan kartel dalam pelbagai bidang di negara ini.

Saya kira pihak media juga harus memainkan peranan penting agar hubungan antara kakitangan awam dan kartel-kartel yang menguasai bekalan bahan makanan didedahkan untuk pengetahuan umum atau menyalurkan sebarang maklumat mengenai perkara ini kepada pihak berkuasa.

Umum juga sudah mengetahui sejak sekian lama bahawa rasuah tidak hanya berlaku di kalangan ahli-ahli politik sahaja. Bahkan rasuah sebenarnya lebih berleluasa dalam kalangan kakitangan awam.

Namun perkara ini jarang didedahkan secara besar-besaran oleh pihak media. Mungkin kerana ia tidak mempunyai nilai sensasi dan komersil yang tinggi.

Walau bagaimanapun masyarakat sudah mengetahui bahawa ramai kakitangan awam yang bekerjasama dengan pihak kartel yang menguasai pasaran. Ini kerana perkara begini sudah berlaku sejak sekian lama.

Dalam menanggapi isu kekurangan bekalan beras di pasaran seharusnya muncung meriam tidak dihalakan kepada orang politik tetapi harus dihalakan kepada kakitangan awam.

Tanpa kekuatan dua pertiga di Dewan Rakyat, agak sukar bagi pihak kerajaan untuk membentuk akta yang lebih ketat bagi melumpuhkan penguasaan kartel di pasaran.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts