TAPAK KEBANGKITAN BANGSA NUSANTARA – DR. RAMALAN YUNUS 

107
SHARES
344
VIEWS

Sambutan dari rakyat Sabah atas ketibaan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung di Tawau dalam rangka Ekspedisi DiRaja Kembara Kenali Borneo sungguh luar biasa.

Ini menunjukkan bahawa kecintaan rakyat Sabah dan Sarawak juga cukup tebal terhadap Institusi Raja-raja Melayu yang memayungi negara ini sejak Proklamasi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan Proklamasi Perjanjian Malaysia pada tahun 1963.

Ia juga sebagai isyarat dari Istana Negara bahawa Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan atau dianak-tirikan dalam perjalanan kita untuk membina sebuah negara bangsa.

Antara titah Tuanku dan Proklamasi Melayu, rakyat Sabah dan Serawak jelas membuktikan bahawa mereka menjunjung titah Tuanku dan komited untuk mendaulatkan Raja-raja Melayu.

Secara peribadi saya sendiri cukup terharu dengan sambutan luar biasa dari rakyat Sabah itu. Ini kerana sudah dua tahun lebih saya mempromosikan Borneo sebagai “the next big thing” dalam abad ke 21 ini.

Saya yakin Borneo akan menjadi tapak kebangkitan Bangsa Nusantara di bawah naungan Raja-raja Melayu. Ekspedisi DiRaja Kembara Kenali Borneo memberikan semangat dan motivasi kepada saya untuk meneruskan perjuangan saya.

Sudah pasti saya antara orang yang paling gembira dengan Ekspedisi DiRaja ini dan saya pasti bahawa para penyokong Gerakan Subversif Republik Malaysia atau GSRM yang bercita-cita untuk menghapuskan Institusi Raja-raja Melayu akan “terbakar janggut” mereka menyaksikan sambutan luar biasa rakyat Sabah itu.

Ekspedisi DiRaja Kembara Kenali Borneo memberikan peluang kepada YDP Agong dan Raja Permaisuri Agong untuk mengenali lebih dekat rakyat Malaysia yang berada di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Jarak perjalanan lebih dari 2,100 kilometer itu melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei. Ia bermula dari Tawau, Sabah dan akan berakhir di Teluk Melano, Sematan, Sarawak.

Pulau Borneo yang dikongsi oleh Malaysia, Brunei dan Indonesia adalah merupakan pusat komoditi terbesar di dunia. Kedudukannya di tengah-tengah laluan antara Timur dan Barat memberikan nilai geopolitik, geoekonomi dan geostrategi yang tinggi pada era ini.

Pulau Borneo juga berada di bawah zon perdagangan dan pembangunan Brunei Indonesia Malaysia dan Filipina atau BIMP – EAGA.

Ekspedisi DiRaja Kembara Kenali Borneo membawa pesan politik yang cukup besar kepada seluruh Bangsa Nusantara. Pesanan bahawa Bangsa Nusantara ini hanya akan mampu bangkit dengan naungan Raja-raja Melayu.

Pesanan ini juga sudah pasti akan berupaya untuk membatalkan idea GSRM yang kononnya Raja-raja Melayu tidak pedulikan nasib bangsa sendiri dan tidak mampu membela nasib bangsa di tanahair mereka sendiri.

Sempena dengan Ekspedisi DiRaja ini maka sudah sampai masanya bagi pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan memberikan tumpuan yang istimewa kepada segala potensi yang dimiliki oleh Pulau Borneo.

Inisiatif untuk membawa lebih banyak pelaburan asing ke Pulau Borneo perlu dipertingkatkan.

Ekspedisi DiRaja Kembara Kenali Borneo yang membawa misi perpaduan merupakan satu peristiwa besar buat rakyat Sabah dan Sarawak. Sudah pasti ia akan memberikan kenangan yang cukup indah buat mereka.

Semoga Ekspedisi DiRaja Kembara Kenali Borneo ini menjadi asbab turunnya rahmat Allah SWT ke atas seluruh Pulau Borneo dan penduduknya.

Daulat Tuanku!

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts