YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Rakyat Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya (Heliopolis) di Kaherah, Mesir, semalam.
Pertemuan beliau bersama Presiden El-Sisi menyentuh pelbagai perkara dalam usaha merapatkan hubungan persahabatan kedua-dua negara.
Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pemimpin turut menyentuh isu yang melibatkan warga Palestin yang terus dirampas hak mereka dan terus dibantai tanpa noktah.
YAB Perdana Menteri turut menyanjung usaha Mesir dalam memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan perubatan melalui sempadan Rafah-Gaza dan memastikan ia sampai terus kepada mereka.
Mereka turut bersetuju bahawa kedua-dua negara wajib memainkan peranan yang lebih dan tegas dalam memastikan keganasan berterusan dapat dihentikan, nyawa dapat diselamatkan serta keadilan sejagat mesti ditegakkan.
Selain itu, Presiden El-Sisi akan mengadakan kunjungan rasmi ke Malaysia, pada sekitar awal tahun depan, Insya-Allah.
Semoga hubungan Malaysia dan Republik Rakyat Mesir mesti terus mekar dan diperkuat demi manfaat rakyat kedua-dua negara.