Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi hari ini memuji pendirian Perdana Menteri Tun Dr . Mahathir Mohamad yang menolak gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta perkahwinan sejenis.
Khalil berharap pendirian Mahathir itu adalah keputusan kerajaan yang harus didukung semua menteri dan pemimpin Pakatan Harapan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, keputusan tersebut mesti diambil sebagai “point of reservation” dalam konvensyen antarabangsa mengenai hak asasi manusia.
“Keputusan tersebut adalah tepat kerana Malaysia tidak harus dikongkong dengan kehendak hak asasi manusia acuan Barat.”
Beliau menegaskan pendirian tersebut kerana terdapat dakwaan kerajaan baharu menyokong gaya hidup LGBT kerana kelihatan kerajaan melayan kehendak golongan ini secara berlebih-lebihan selepas PRU-14.