GUAN ENG, SILA KEMUKAKAN PENYATA JANUARI HINGGA JULAI – NAJIB

84
SHARES
272
VIEWS

Oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak

26 September 2018

Kerajaan telah mengeluarkan kenyataan lagi bahawa baki Akaun Hasil Disatukan pada akhir bulan April 2018 adalah hanya RM450 juta.

Seperti yang saya dedahkan bulan lalu, penyata kewangan kerajaan bulanan disiapkan pada setiap 15 haribulan. Contohnya, bagi bulan April, penyata disiapkan pada 15 Mei di mana kerajaan sudah diambil alih oleh PH. Oleh itu, saya tidak pernah melihat penyata bagi bulan April.

Selain dari baki dalam bentuk wang tunai, berapakah jumlah baki simpanan tetap (FD) jangka pendek di dalam Akaun Hasil disatukan pada akhir bulan April?

Saya masih bertegas bahawa adalah mustahil untuk baki keseluruhan akaun ini hanya pada RM450 juta sahaja kerana sebab-sebab berikut.

1. Baki akhir bagi Akaun Hasil Disatukan setiap bulan tidak pernah kurang dari RM18 bilion sehingga RM20 bilion dan penjawat-penjawat awam dalam proses pengurusan aliran wang (cash flow management) akan memastikan sekurang-kurangnya dana mencukupi sebagai penampan atau ‘buffer‘ untuk dua bulan untuk membayar gaji dan pencen kesemua kakitangan awam.

2. Jika baki ini rendah maka kerajaan akan menerbitkan Bil Perbendaharaan (Treasury bills) untuk membuat pinjaman jangka pendek iaitu untuk tempoh 3 bulan, 6 bulan ataupun setahun. Dalam beberapa hari sahaja, wang dari Bil-Bil ini sudah masuk. Mengapa ini tidak dilakukan?

3. Walaupun penyata akaun bulanan ini tidak didedahkan secara awam dan saya tidak boleh lagi meminta untuk merujuk kepada penyata-penyata ini, pada pengetahuan saya, baki untuk akhir bulan Mac 2018 juga di sekitar RM18 bilion. Mustahil untuk baki ini kurang dari RM18 bilion kepada RM450 juta pada bulan April sahaja.

4. Setiap hari, ada aliran wang masuk ke dalam akaun dari LHDN, GST dan beberapa sumber lain.

5. Selain dari pembayaran BR1M pada bulan Februari 2018, tiada pembayaran yang berskala besar berlaku di dalam bulan Januari hingga April. Kesemua pengaliran keluar masuk dari akaun kerajaan akan dicatatkan dan ada buktinya.

Jikalau Menteri Kewangan tegas dalam pendirian baki pada penghujung bulan April telah jatuh kepada RM450 juta, sudah tentu Menteri Kewangan boleh merujuk kepada pengaliran-pengaliran wang ini dan tidak perlu tanya saya ke mana wang itu pergi.

Memandangkan bahawa adalah tidak adil untuk membuat tuduhan-tuduhan begini kepada kerajaan BN yang terdahulu dalam keadaan kita tidak lagi boleh memantau dan merujuk kepada penyata-penyata bulanan terutama bagi bulan April, saya meminta kerjasama Kementerian Kewanagan untuk mendedahkan secara umum maklumat-maklumat yang diperlukan seperti dalam gambar berikut.

Jika mahu membuat tuduhan terhadap kita maka perlulah telus dan mendedahkan ke semua penyata-penyata untuk bulan Januari sehingga Julai untuk pemantauan orang ramai. Barulah adil dan telus.

Untuk mengetahui mengapa kerajaan PH tiba-tiba mahu menuding jari kepada saya dan kerajaan BN lalu iaitu sebulan sebelum bajet 2019 akan dibentang, sila rujuk kepada 17 soalan yang saya tanya tiga hari dahulu yang masih tidak dijawab oleh kerajaan PH.

Saya sudah jawab. Bila Guan Eng mahu jawab?

(Dipetik melalui laman Facebook beliau)

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts