Oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak
27 September 2018
Tahniah kepada seluruh barisan pemimpin dan kakitangan Universiti Malaya (UM) dan IPTA-IPTA yang lain di atas kejayaan memperbaiki kedudukan universiti mereka dalam senarai “World University Rankings” oleh Times Higher Education (THE) yang dilaporkan di dalam media tempatan hari ini.
UM kini berada di kedudukan paling baik dalam sejarah untuk kedua-dua senarai utama universiti terbaik dikeluarkan oleh THE dan juga dari Quacquarelli Symonds (QS).
Sebelum saya menjadi PM, kedudukan IPTA-IPTA semakin menurun. Ini mencetus banyak kritikan dan kerisauan dari orang ramai kerana kualiti pendidikan anak-anak kita sangat penting untuk masa depan negara.
Oleh itu, apabila kita melancarkan Program Transformasi Negara dengan PEMANDU, bidang pendidikan merupakan bidang keutamaan yang perlu diberi tumpuan.
Saya ingat pada akhir tahun 2013, pemimpin-pemimpin Pakatan dengan rakyat mengecam kerajaan dengan teruk kerana menggunakan RM20 juta untuk mengupah perunding terkenal dunia McKinsey & Co bagi mengambil masa dua tahun untuk mengumpul pendapat dari pakar-pakar pendidikan dunia dan membantu kita membentuk Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Negara.
Kerajaan BN pada masa itu dikecam sebagai bodoh, boros, membazir dan sebagainya kerana mengupah perunding dari luar negara dan bukan dari dalam negara sahaja.
Tetapi pada masa itu saya mahu pendidikan negara menjadi antara terbaik di dunia – bukan sekadar jaguh kampung sahaja.
Saya juga ingat kita dikecam dengan begitu teruk juga pada masa bajet untuk IPTA dipotong untuk tahun 2016 dan 2017.
Kami dituduh sebagai kerajaan yang bankrap ataupun kami tidak menghirau prestasi pendidikan negara. Ada juga yang dakwa yuran pelajar akan naik dengan tinggi kerana bajet IPTA sudah dipotong.
Sebenarnya, langkah untuk memotong bajet IPTA sudah disenarai secara hitam putih melalui langkah-langkah utama (langkah ke-5) di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) untuk meningkat pengajian tinggi yang dikeluarkan secara umum pada tahun 2014.
http://bendahari.uthm.edu.my/…/Ringkasan-Eksekutif-PPPM-201…
Langkah ke-5 ini yang bertajuk “Kemampuan Kewangan” adalah berikut:
“Malaysia juga perlu beranjak dari sistem yang sangat bergantung kepada sumber Kerajaan dan fokus terhadap input kepada sistem yang berfokus terhadap keberhasilan dan penglibatan seluruh pihak berkepentingan dalam memberi sumbangan. IPT awam dan swasta akan mempelbagaikan sumber pendapatan untuk meningkatkan kualiti program secara berterusan, lebih berhemat dan inovatif dalam penggunaan sumber. “
Ini adalah langkah terancang, bertujuan untuk IPTA bekerja dengan lebih rapat dengan pihak swasta serta tidak membazir dengan menawarkan kursus yang tidak mendapat sambutan dari pihak swasta ataupun dalam hasil penyelidikan yang tidak dapat digunakan.
Alhamdulillah. Akhirnya, pelan kita berhasil. Yuran pelajar juga tidak pernah dinaikkan dan prestasi IPTA-IPTA kita terus meningkat.
Misalnya, kedudukan UM jatuh sehingga tempat ke 246 antara universiti-universiti dunia mengikut laporan QS bagi tahun 2007 iaitu sebelum saya menjadi PM dan pada masa itu Program Transformasi belum bermula.
Kini, kedudukan UM kini telah meningkat setiap tahun sehingga mencapai tempat ke-87 antara universiti terbaik di dunia dalam laporan terbaru QS.
Bukan UM sahaja tetapi semua IPTA-IPTA negara telah berjaya memperbaiki prestasi dan kedudukan mereka setiap tahun bagi tahun-tahun kebelakangan ini.
Ini jelas menunjukkan kritikan dan kecaman terhadap kita yang menjalankan pembaharuan dan transformasi pendidikan negara pada masa dahulu, adalah tidak berasas. Ia juga jelas bagaimana Pakatan dengan mudah boleh menghasut rakyat menentang langkah yang sebenarnya bagus dan terancang.
Rancangan pendidikan kita dan peranan PEMANDU untuk membentuknya juga mendapat pengesyoran bank dunia di dalam laporan mereka yang bertajuk “What Other Countries Can Learn from Malaysia’s Efforts to Improve Education Sector Performance“
https://www.worldbank.org/…/what-other-countries-can-learn-…
Apakah perbelanjaan RM20 juta untuk perunding luar itu satu pembaziran jika satu generasi anak-anak muda kita boleh menikmati pendidikan yang lebih bermutu dan semakin baik di mata dunia?
Saya juga bersyukur kerana kerajaan PH telah mengumumkan bahawa pelan-pelan pendidikan kita yang kita wariskan kepada mereka akan diteruskan.
Ia adalah satu legasi yang baik demi masa depan negara dan anak anak kita.
(Dipetik melalui laman Facebook beliau)