Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi penjelasan mengenai dakwaan lebih 4,000 projek Mesra Rakyat yang telah diluluskan pada 2018, telah dimansuhkan.
Menurut Nasrudin, berdasarkan sumber maklumat yang diperoleh sehingga Julai 2018, nilai keseluruhan 4000 projek yang dimansuhkan tersebut dianggarkan berjumlah lebih RM100 juta yang merangkumi setiap Parlimen di seluruh negara.
“Contohnya, di Negeri Sembilan sahaja projek terlibat berjumlah lebih 500 buah, Johor pula mencatatkan paling banyak iaitu lebih 800 buah projek manakala di Kedah pula sebanyak lebih 500 buah projek.”
“Kebanyakan projek berkenaan adalah di luar kawasan bandar dan ia adalah projek keperluan masyarakat setempat seperti masjid, dewan dan jalan raya.”
Selain itu, terdapat juga tuntutan pembayaran projek berjumlah kira-kira RM8 juta masih belum dilunaskan kerana pihak kerajaan menghentikan dana.
“Sekiranya jumlah ini tidak dibayar kepada pihak kontraktor bumiputera ini, maka lebih kurang 400 syarikat kontraktor akan muflis.”
“Bukan sekadar itu, kehidupan harian mereka turut terjejas.”
“Pas menuntut pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Kementerian Kewangan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk tampil memberi penjelasan berhubung isu ini.”