AMANAT KU LI TAHUN 1993 MENGENAI KONTRAK SOSIAL DAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

1.1k
SHARES
3.6k
VIEWS

Berikut adalah transkrip perbahasan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang lebih dikenali sebagai Ku Li dalam Dewan Rakyat pada tahun 1993, membahaskan mengenai Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu.

Dalam perbahasan tersebut, beliau tidak bersetuju dengan pindaan tersebut namun terdapat dalam perbahasan beliau itu isi-isi mengenai Perlembagaan Persekutuan, Kontrak Sosial, kedudukan Raja-Raja Melayu dan hubungan antara kaum.

Intipati perbahasan beliau di Parlimen pada tahun 1993, boleh dijadikan iktibar pada hari ini dalam dunia Malaysia Baharu yang rakyatnya semakin melupakan perjanjian terdahulu.

Ucapan beliau ini amat segar seolah-olah baru semalam dinyatakan oleh beliau di Dewan Rakyat dan boleh dijadikan amanat untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk menyanjung tinggi Perlembagaan negara.

Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah [Gua Musang]:

Perlembagaan negara kita adalah unik kerana ia dihasilkan melalui perjuangan dan perjanjian.

Iaitu perjuangan orang Melayu menolak Malayan Union dan perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan.

  • Penolakan Malayan Union melahirkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 dan
  • Perjuangan kemerdekaan menghasilkan Perjanjian Kemerdekaan tahun 1957

INILAH UNIKNYA PERLEMBAGAAN KITA.

Ia bukan sekadar sebuah dokumen mengenai peraturan dan cara pengendalian sebuah negara.

Tetapi yang lebih penting lagi ia merupakan ASAS KONTRAK SOSIAL antara pelbagai komponen yang saling berkaitan dalam negara kita.

Kontrak Sosial itu ialah;

  • Antara orang Melayu sebagai kaum Peribumi dengan Kaum Pendatang
  • Antara Raja dan rakyatnya dan
  • Antara negeri-negeri berdaulat dengan Persekutuan

Masing-masing diberikan jaminan haknya sebagai timbal balas kepada kerelaan mereka melepaskan sebahagian daripada haknya yang lain.

  • Orang Melayu mendapat hak keistimewaan orang Melayu, jaminan kedudukan agama Islam, Bahasa Melayu, Tanah Rizab Melayu dan hak-hak yang lain
  • Orang bukan Melayu mendapat jaminan hak mengamalkan adat resam, bahasa dan agama masing-masing di samping hak mereka yang terpenting sekali iaitu hak kewarganegaraan

Untuk berkongsi hidup sebagai rakyat di bumi bertuah ini.

Negeri-negeri Melayu yang menyertai Persekutuan juga dijamin kedudukannya di dalam Persekutuan ini.

Manakala Raja-Raja Melayu pula dijamin kedaulatan dan hak-hak kedaulatan atas dirinya sebagai tanda terima kasih rakyat atas perkenan Baginda-Baginda melepaskan banyak hak-haknya yang lain dalam sistem Raja Berperlembagaan.

Rakyat menerima Raja yang berdaulat sebagai payung keadilan, ketua agama Islam, pendokong adat istiadat orang Melayu, simbol Ketuanan Melayu dan pemelihara keadilan bagi masyarakat berbilang kaum.

Perihal pentingnya kedudukan Kedaulatan Raja-Raja Melayu ini dicerminkan melalui susunan Perlembagaan itu sendiri.

Perkara 181 (1) dan 181 (2) yang berada di bawah klausa, dengan izin, “Saving for Rulers Sovereignty, etcetera” – adalah terletak di bahagian paling akhir Perlembagaan kita.

Inilah klausa penamat yang menjadi kesimpulan kepada keseluruhan isi kandungan karya besar yang bernama Perlembagaan Malaysia itu.

Perkara 181 (2) mengenai imuniti Raja-Raja Melayu adalah manifestasi terpenting kepada konsep kedaulatan Institusi itu.

Konsep kedaulatan Institusi itu yang menjadi tiang seri kepada kekukuhan Perlembagaan negara ini.

Keharmonian antara pelbagai pihak di negara ini akan terus kukuh;

  • Selagi rakyatnya rela bertolak ansur
  • Berakomodasi dan saling menghormati perjanjian yang dibuat oleh mereka yang terdahulu

Sebab itulah sehingga kini kita boleh berbangga, Malaysia walaupun masyarakatnya yang pelbagai keturunan dan agama, kita boleh terus hidup dalam rukun dan damai.

Sejarah keharmonian ini pernah dicacatkan oleh tragedi 13 Mei 1969 iaitu 21 tahun setelah perjanjian 1948.

Perbezaaan taraf ekonomi antara kaum-kaum mencetuskan perasaan marah hingga ada yang mengungkit perjanjian terdahulu.

Ini termasuk membangkitkan soal kewarganegaraan, mencaci Raja-Raja Melayu dan  mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu.

Sebab itulah selepas tragedi hitam itu rakyat terpaksa diingatkan kembali perjanjian asal tadi dan beri amaran demi kestabilan dan kemakmuran negara, jangan sesiapapun mengungkitkan lagi soal;

  • Hak keistimewaan orang Melayu
  • Soal kedudukan Bahasa Melayu, dan
  • Soal kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu

Bahkan kepada orang Melayu sendiri mereka diingatkan jangan sama sekali bangkitkan soal hak kerakyatan kaum bukan Melayu.

Ini adalah persetujuan asal yang tidak boleh diungkit lagi.

Kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan bukannya untuk memaki hamun sesiapa sahaja tanpa mengambil kira soal sensitiviti perasaan rakyat yang berbilang kaum.

Sebab itulah dalam tahun 1971, Perlembagaan Persekutuan dipinda dan dimasukkan Perkara 63 (2) yang melarang sesiapa sahaja termasuk di Dewan yang mulia ini, membangkitkan perkara-perkara yang disifatkan sensitif oleh Akta Hasutan.

Ini termasuklah soal yang menyentuh kedudukan dan kemuliaan martabat Raja-Raja Melayu.

Bagi mengelakkan peristiwa pahit tadi berulang lagi, kita memberi kunci amanah kestabilan negara kepada Institusi Raja-Raja Melayu.

Saya ulangi;

Kita memberi kunci amanah kestabilan negara kepada Institusi Raja-Raja Melayu, yang berdaulat untuk menyimpan, bukan kepada ahli-ahli politik.

Amanah itu ialah perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan, antara lainnya perkara 159 (5) ini menyatakan;

  • Bahagian 3, Perlembagaan kita mengenai Hak Kewarganegaraan
  • Perkara  38, mengenai kedudukan Raja-Raja Melayu
  • Perkara 152, mengenai kedudukan Bahasa Melayu dan
  • Perkara 153 mengenai hak keistimewaan orang Melayu

Tidak boleh dipinda melainkan dengan Persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

Inilah amanah besar keharmonian negara yang tidak boleh diubah oleh kuasa majoriti  2/3 di Dewan Rakyat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

Maka inilah peranan paling unik dan terbesar yang diamanahkan kepada Institusi Raja-Raja Melayu kita, ia bukannya sekadar simbol kepada sejarah peradaban bangsa kita.

Tetapi sebagai pemegang amanah kepada masa depan kestabilan negara yang tercinta ini.

Jangan melihat Raja-Raja Melayu dari segi individunya. Benar, sebilang orang individu yang bergelar Raja mungkin tidak banyak menentukan masa depan kita.

Tetapi sebuah Institusi besar yang mengandungi 9 buah Institusi Raja-Raja Melayu tetap besar maknanya dalam melindungi amanah tadi.

Malangnya, sekali lagi selepas 21 tahun, kita bersetuju dengan peraturan-peraturan tadi nampaknya sejarah mula dilupakan.

Rakyat secara terbuka ‘digalakkan’ memaki hamun Raja-Rajanya terutamanya dalam media massa kita.

Cadangan perkara 63 (5) mengenai Akta Hasutan hanya akan menjadikan Parlimen gelanggang mencerca Raja-Raja Melayu.

Kita bimbang kalau ia diteruskan luka sejarah pahit tahun 69 akan terbuka kembali.

Klausa yang melarang Ahli Parlimen menganjurkan penghapusan Sistem Raja Berperlembagaan tidak menjamin yang orang tidak akan berbuat demikian.

Hari ini terbukti undang-undang yang ada tidak lebih daripada sekeping kertas yang boleh dicampak ke tepi.

Di saat Akta Hasutan yang ada masih berkuatkuasapun, rakyat sudah menyaksikan pesta memaki hamun Raja-Raja Melayu berlangsung setiap hari tanpa sebarang tindakan diambil.

Bahkan kita ingin bertanya;

Tidakkah rang undang-undang pindaan di depan kita inipun sudah melanggar Akta Hasutan yang sedia ada?

Bagi mereka yang ingin mengikuti perbahasan penuh Ku Li mengenai Rang Undang-Undang Pindaan tersebut boleh lihat melalui video di bawah;

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts