Oleh Anuar Shaari
29 Disember 2018
1. Jangan panik dengan tajuk ini. Tajuk di atas adalah pelawaan seorang teman di Putrajaya yang mengajak saya dan keluarga memeriahkan pesta lampu di Putrajaya. Saya tertawa namun tidak sedikitpun terkesan dengan rasa amarah mahu segera ke Putrajaya dan membuat onar. Begitu juga setiap kali tiba musim perayaan, maka keluarlah ayat-ayat “jom kita serang rumah si polan dan si polan”. Sewaktu darjah tiga, guru bahasa Inggeris saya seorang India. Setiap kali Deepavali, kami satu sekolah akan ‘menyerang’ rumah Cikgu Naidu dan dihidangkan dengan maruku serta pelbagai makanan lain. Maka itu, perkataan ‘serang’ boleh dilihat dalam konteks dan keadaan berbeza.
2. Pengumuman untuk ‘menyerang’ rumah Cikgu Naidu dibuat oleh Ustaz Ahmad, guru subjek agama islam saya dan disambut oleh guru Bahasa Malaysia saya, Cikgu Ng Swee Kee. Namun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Saya dimaklumkan Cikgu Ng Swee Kee telah meninggal dunia 5 tahun yang lepas. Ustaz Ahmad kini uzur dan tinggal di utara tanahair bersama anak beliau. Manakala Cikgu Naidu kini berusia 71 tahun serta masih sihat menjalani aktiviti seharian di Kg. Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor. Saya amat merindui zaman ini yang tentunya zaman sebelum Tun M lagi.
3. Bukan tiada perkataan dan kata-kata melampaui batas ketika itu. Di zaman itu juga telah ada perkataan ‘paria’, ‘sepet’, ‘tempe’ dan sebagainya. Cuma zaman itu tiada ‘batu api’ dan tiada penghasut seperti DAP sekarang di kalangan masyarakat kita. Tiada sebarang kata-kata atau tindakan bersifat provokasi yang boleh mencetuskan kita berbalas kata atau tindakan. Sebarang perselisihan dan ketidaksefahaman diselesaikan secara harmoni. Tidak salah juga jika kita merindui zaman DAP Lee Lam Thye (kini Tan Sri), Kerk Kim Hock dan Wee Choo Keong yang telah menjadi mangsa rakus politik Lim Kit Siang.
4. Kerana itu, saya terkejut apabila Dato’ Azwanddin ditahan kerana mengeluarkan perkataan ‘serang’ balai polis. Bagaimana pula dengan pihak yang memulakan provokasi sehingga ada tindak balas dari Dato’ Azwanddin? Sudah bertahun-bertahun P. Waytha Moorthy berbohong dan menghina umat Islam di Malaysia. Bila lagi nak tangkap? Apa cerita V. Ganabatirau yang menuduh umat Islam setelah insiden serangan kuil berlaku?
5. Dato’ Azwanddin mengucapkan di hadapan ribuan hadirin “kita serang balai polis” namun tiada seorangpun yang terkesan hingga pergi dan menyerang balai polis. Namun Dato’ Azwanddin ditangkap dalam masa 24 jam. Reman 4 hari dan jatuh ketika dibawa ke mahkamah. P. Waytha Moorthy mengucapkan “insiden serangan kuil berlaku kerana salah polis”. Ramai yang terkesan dengan kenyataan ini dan mula bangkit membalas kenyataan beliau. P. Waytha Moorthy diberi keistimewaan, polis yang pergi mengambil kenyataan beliau setelah seminggu insiden berlalu. Sehingga kini beliau masih menteri dan bebas.
6. V. Ganabatirau menuduh di FB “insiden serangan kuil dilakukan oleh umat Islam”. Umat Islam terluka dan mula memberi reaksi keras terhadap tuduhan tanpa bukti itu. V. Ganabatirau juga mendapat keistimewaan seperti rakannya. Beliau bebas menentukan tarikh untuk pihak polis pergi ke pejabat beliau bagi diambil kenyataan. Sehingga kini Ganabatirau masih bebas dan menikmati faedah sebagai EXCO kerajaan Negeri Selangor.
7. Begitu juga dengan perusuh-perusuh insiden kuil tempohari. Muhammad Adib bertarung nyawa selama tiga minggu di hospital setelah dipukul tanpa sebab ketika bertugas. Hasil pukulan tersebut, Muhammad Adib telah meninggal dunia. Keluarga Muhammad Adib terus terkesan dan berduka sehingga kini. Namun perusuh dan pemukul Muhammad Adib masih bebas di luar sana. Malahan mereka amat gembira setelah dibebaskan dengan jaminan walaupun disyaki melakukan jenayah bunuh! Mereka juga masih sihat di luar sana serta boleh menikmati makanan yang enak-enak manakala ibu Muhammad Adib belum menjamah sebutir nasipun sehingga kini.
8. Di mana keadilan buat mereka yang berjuang menegakkan keadilan? Perlukah kita ‘serang’ Peguam Negara bagi mendapatkan keadilan? Atau perlukah kita ‘serang’ Gopal Sri Ram yang sering bicara tentang keadilan bagi mendapatkan sedikit perhatian beliau? Mereka punya ‘sedikit’ kuasa dalam kerajaan hari ini bagi menentukan keadilan dalam kes ini. Tiada guna berbicara tentang Malaysia Baharu yang gemilang jika kes sebeginipun tidak dapat diuruskan dengan adil seadilnya……