MAHATHIR BERJAYA DIJINAKKAN, AZMIN BELUM TENTU SELAMAT

287
SHARES
925
VIEWS

Sejarah membuktikan jawatan Timbalan Perdana Menteri di bawah Tun Mahathir bukanlah penentu akan menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Ini dibuktikan oleh sejarah politik negara di mana tersungkurnya tiga Timbalan Perdana Menteri di bawah Mahathir iaitu Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba (Allahyarham) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kemudiannya Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan menjadi TPM pertama yang selamat sampai ke kerusi panas Perdana Menteri Malaysia, dengan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Timbalannya.

Walaupun kemudiannya Mahathir sendiri tidak berpuas hati dan menjatuhkan Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri ke-5, Najib pula diangkat menggantikan Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada April 2009.

Sekali lagi Mahathir sendiri tidak berpuas hati kerana kata-kata dan nasihatnya tidak diikuti, maka Najib pula dijatuhkan sebagai Perdana Menteri.

Mahathir kemudiannya diangkat menjadi Perdana Menteri semula oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan ketika berusia 93 tahun, tentunya dengan terma yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Jika dilihat dari awal pembabitan setiap Timbalan Perdana Menteri di bawah Mahathir, mereka  akan disingkirkan sama ada sebagai ‘kambing hitam’ ataupun kerana tidak memenuhi caranya yang difikirkan sentiasa lebih baik dari orang lain.

Namun apabila Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, beliau terpaksa melantik Datuk Seri Wan Azizah, isteri kepada Timbalan Perdana Menterinya yang disingkirkan pada tahun 1998.

Kini masyarakat mendengar desas-desus Wan Azizah pula akan digantikan dengan Datuk Seri Azmin Ali  selepas Tahun Baru Cina, walaupun belum dapat dipastikan kesahihannya.

Tetapi jika dilihat cara Mahathir menjadi Perdana Menteri, sesiapapun Timbalan di bawahnya belum tentu akan selamat kerana Mahathir sentiasa beranggapan beliaulah Perdana Menteri terbaik dan terulung.

Tidak kira sama ada anak didik, anak angkat, calon atau orang kesayangan, ini semua tidak ada nilai bagi Mahathir.

Selagi tidak berpuas hati, sesiapapun Timbalannya selepas itu akan disingkirkan sehinggalah beliau benar-benar berpuas hati dengan penggantinya.

Malah khabar-khabar angin kononnya Azmin akan menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas Tahun Baru Cina ini juga tidak memberi jaminan beliau akan selamat serta akan disingkirkan jika tersilap langkah.

Cuma bezanya dahulu Mahathir masih bertenaga dan berkuasa penuh melalui UMNO dan Barisan Nasional, kini tidak lagi apabila parti beliau PPBM berkongsi kuasa dengan DAP, PKR dan AMANAH dalam Pakatan Harapan.

Malah beliau sendiri akui dilantik menjadi Perdana Menteripun atas cadangan DAP, hanya sementara sebelum  beliau perlu menyerahkannya kepada Anwar Ibrahim.

Ini tentunya membuatkan Mahathir terhutang budi ataupun ‘terikat mati’ dengan DAP, yang boleh dilihat sendiri dengan jelas bagaimana DAP mencatur kuasa dan negara di bawah telunjuknya, namun dalam masa yang sama Mahathir sebagai Perdana Menteri tidak mampu berbuat apa-apa.

Persoalannya, jika benar Azmin akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, adakah beliau juga akhirnya akan menggigit jari seperti Timbalan-timbalan Mahathir sebelum ini?

Atau, jika Azmin berjaya menjadi Perdana Menteri sekalipun, adakah beliau juga bakal mengikut telunjuk DAP, sama seperti Tun Mahathir yang akhirnya berjaya mereka jinakkan?

Sehebat manapun manusia merancang, kita selalu lupa bahawa hakikatnya Allah SWT adalah sebaik-baik Perancang.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts