Arab Saudi disenaraikan sebagai negara kesembilan paling kuat di dunia dari segi pengaruh politik dan kewangan, menurut sebuah kajian dari Amerika Syarikat.
Arab Saudi turut digambarkan sebagai “gergasi Timur Tengah” dan negara tersebut mempunyai rizab minyak yang sangat besar dan menjadi negara pengeksport ke segenap negara di seluruh dunia.
Selain itu ia turut mencatatkan kemasukan berjuta-juta umat Islam ke negara tersebut bagi melawat kota suci Mekah sepanjang tahun bagi urusan menunaikan ibadah haji.
Kajian yang diterbitkan oleh majalah Business Insider itu turut menyenaraikan Amerika Syarikat sebagai negara terkuat di dunia dan diikuti oleh Rusia, China, Jerman dan Britain.
Kajian ini mengambil kira pengaruh politik dan kewangan sesebuah negara, kekuatan pakatan dengan lain-lain negara di dunia serta kekuatan ketenteraan dan bagaimana ia memainkan peranan sebagai pemimpin antarabangsa.
Kajian tersebut adalah dijalankan dengan kerjasama Universiti Pennsylvania, dan turut membuat tinjauan ke atas lebih 20,000 responden dari 80 buah negara.
Sepuluh negara teratas lain termasuk Perancis, Jepun dan Korea Selatan, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula berada di tangga kesebelas.