PASCA PRK SEMENYIH: JANGAN PANIK, PPBM MASIH UTUH SERTA KUAT

866
SHARES
1.9k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

1. Pasca PRK Semenyih membuktikan PPBM masih kuat serta teguh dalam politik tanahair. Biarpun tewas dengan majoriti 1914 undi, PPBM tetap unggul dalam Pakatan Harapan. Jawatan Perdana Menteri Malaysia masih dimiliki PPBM yang memenangi 12 kerusi parlimen pada PRU lalu. Terkini PPBM memiliki 22 kerusi Parlimen, bilangan kerusi paling sedikit dalam PH namun yang paling berkuasa.

2. Komponen PH pun tiada yang menyalahkan PPBM atas kegagalan mereka mempertahankan kerusi yang dimenangi semasa PRU-14. Jika adapun, mereka seperti malu-malu untuk bersuara. TPM Wan Azizah telah mengeluarkan kenyataan menyalahkan pentadbiran 60 tahun BN yang sukar diubah. Ini menunjukkan ‘kecerdikan melampau’ TPM yang tidak tercapai akal rakyat biasa untuk memikirkannya. ‘Kanda’ Mujahid pula mengatakan calon BN yang menang itu tidaklah hebat manapun. Ini juga kenyataan ‘bertaraf dunia’ dari seorang menteri hebat berkelulusan PhD.

3. Lim Guan Eng pula mengeluarkan kenyataan mahu melihat wakil rakyat BN yang menang membawa pembangunan di Semenyih. Ini benar-benar menepati ‘maqasid syariah’ kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan di bawah pemerintahan PH. Ahli Parlimen Hulu Langat dari PAN yang menaungi DUN Semenyih barangkali boleh turut sama mengeluarkan kenyataan menyertai ‘kecerdikan’ sekutu PH yang lain.

4. Semasa kempen berlangsung, PH dan PPBM sangat kuat dan berkuasa. Mereka menjanjikan hospital, klinik, jalan raya, pembangunan dan boleh meluluskan peruntukan membaiki dewan (dibatalkan kemudiannya) dan bermacam janji lain. Selepas tamat PRK, PPBM dan PH tetap unggul, kuat dan berkuasa. Tiada tindakan dari pihak berkuasa walaupun pihak berkuasa sendiri mengatakan perlakuan PPBM dan PH ini menyalahi tatacara kempen dan boleh dikenakan tindakan. Kesalahan tatacara kempen PH dan DAP semasa PRK Cameron Highlands sehingga kinipun masih tiada tindakan. Ini membuktikan PH diterajui PPBM tetap berkuasa.

5. Mereka tidak pedulipun rungutan serta keluhan rakyat bawahan yang semakin terhimpit kehidupan mereka akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu. Keluhan rakyat tidak mereka pedulikan. Di saat rakyat menderita akibat kenaikan harga barang, keutamaan PPBM adalah kereta nasional ke-3, dan terkini, kereta terbang. Menteri Pembangunan Usahawan PPBM telah mengumumkannya. Di saat rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup, pejabat PM dari PPBM mengumumkan cadangan ‘magic show‘ berkaitan tol. Tol tetap dikenakan, cuma tukar nama kepada caj kesesakan. Ini menunjukkan PPBM parti yang tetap utuh serta unggul menerajui pemerintahan negara.

6. Dari segi politik, PPBM berkuasa membuat apa yang mereka suka biarpun komponen PH yang lain malu-malu untuk menegur. ‘Katak’ dari UMNO diterima menyertai PPBM walaupun dibantah keras DAP dan PKR. PPBM tetap melebarkan sayapnya ke Sabah walaupun PKR dan WARISAN tidak bersetuju dengan tindakan PPBM. PPBM tetap ‘bermain mata’ dengan PAS biarpun DAP dan PKR separuh mati membantah permainan politik licik ketua PPBM ini. Ketua PPBM memekakkan telinga terhadap desakan PKR yang mahukan DS Anwar diberi tempat dalam kerajaan hari ini. Ini juga bukti betapa kuatnya PPBM sebagai sebuah parti politik.

7. Oleh itu, siapa saja yang mengatakan PPBM tidak kuat dan ketandusan pemimpin, mereka mungkin silap. Anak Ketua PPBM yang kini Timbalan Presiden PPBM bila-bila masa bersedia mengambil alih tampuk kepimpinan PPBM. Tambahan pula Presiden PPBM sebagai Pengarah PRK Semenyih gagal mengekalkan kerusi yang telah mereka menangi dahulu. Presiden PPBM juga dikatakan mempunyai masalah kesihatan. Tentunya, PPBM akan bertambah kukuh serta kuat setelah anak dan bapa menerajui parti tersebut.

8. Tentunya PPBM akan terus bertambah kukuh serta kuat jika anak Perdana Menteri diberi laluan mudah sebagai Perdana Menteri menggantikan ‘bakal’ Perdana Menteri paling lama dalam sejarah Malaysia. Jika ini berlaku, maka PPBM adalah parti yang paling utuh, jitu serta terkuat dalam sejarah Malaysia. Bolehlah mana-mana Ahli Parlimen dari kerajaan atau pembangkang yang berhasrat menjadi ‘katak’, menyertai parti yang paling kuat ini…

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts