Dalam beberapa ciapan yang dibuat oleh DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim awal pagi semalam melalui laman Twitter, Baginda dipetik berkata;
“Sepatutnya since first day dah isytihar Darurat dan pindahkan penduduk ke tempat lain buat sementara. Sampai dapat guarantee that it is safe.”
Baginda melahirkan perasaan hairan kerana menurut pandangannya sejak hari pertama kejadian pencemaran toksik yang berlaku akibat pembuangan sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang oleh pengilang haram, darurat sepatutnya diisytiharkan.
Ini bagi memastikan keselamatan rakyat Baginda di kawasan yang terlibat dengan membuat pemindahan sementara ke tempat lain.
Tidak lama kemudian dalam ciapan yang lain berselang kira-kira 24 minit kemudian, DYAM Tunku Mahkota Johor turut melahirkan rasa terkejutnya kerana jumlah mereka yang terjejas sekitar 2000 orang namun masih juga belum diisytiharkan darurat;
“2000 people affected and no need to isytihar Darurat. Wow… amazing.”
Sebagai rekod, dalam satu sidang media khas mengenai pencemaran toksik yang berlaku di daerah Pasir Gudang, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata, pencemaran yang berlaku tidak berapa rumit kerana tidak berlaku sebarang kematian dan tiada yang kritikal.
Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.
Media sebelum itu sejak 7 Mac lepas melaporkan berbelas-belas pelajar sekolah yang terlibat berada dalam keadaan kritikal dan dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan dan pantauan, yang menunjukkan kenyataan Menteri Besar sebagai tidak tepat.
Kecuaian dan kelewatan kerajaan negeri termasuk tindakan lewat Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor iaitu Osman sendiri dalam membuat keputusan pantas menangani insiden pencemaran toksik tersebut, amat dikesali oleh masyarakat.