Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta semua penjawat awam agar ‘ikat perut’ buat sementara waktu sehingga kerajaan dapat mengatasi masalah kewangan negara yang dicipta oleh kerajaan sebelum ini.
Seperti biasa, penjawat awamlah yang diminta berkorban atau menjadi mangsa terlebih dahulu termasuk rancangan kerajaan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam secara berperingkat.
Menurut Tun Mahathir, pada waktu ini kerajaan perlu memberi tumpuan untuk membayar hutang yang tinggi.
Sebagai rekod, hutang sebenar negara adalah berjumlah RM686 bilion dan kerajaan Pakatan Harapan dilihat begitu gigih menambah hutang tersebut, mungkin tujuan mereka adalah untuk mencapai sasaran sehingga RM1 trilion, iaitu jumlah yang selalu mereka bangkitkan.
Adakah ini rancangan Tun Mahathir dan Pakatan Harapan selama ini? Jumlah hutang 1 trilion diulang-ulang bertujuan memperdaya rakyat agar semakin marah terhadap UMNO dan Barisan Nasional.
Rakyat memang marah ketika itu apatah lagi apabila mendengar kerajaan terpaksa melancarkan Tabung Harapan yang sehingga kini tidak diketahui khabar beritanya.
Kini keadaan sebaliknya berlaku, rakyat yang dahulunya marah kini melihat kerajaan pimpinan Tun Mahathir tidak lebih seperti badut-badut sarkas yang hanya pandai membuat lawak dengan muka selamba dan apabila tiba masa untuk membuat kerja, semuanya gagal.
Kegagalan mereka diakui oleh Tun Mahathir sendiri, yang berkata beliau turut kecewa apabila ditanya oleh wartawan mengenai komen Nurul Izzah yang mengkritik beliau dan prestasi kerajaan Pakatan Harapan.
Ini bermakna secara tidak langsung Tun Mahathir turut mengakui kegagalannya sebagai Perdana Menteri ke-7, tidak seperti ketika beliau memimpin secara diktator selama 22 tahun yang turut diungkit oleh Izzah.
Sikap ‘kediktatoran’ beliau itulah yang membuatkan negara mempunyai masalah sehingga kini yang cuba dipulihkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, namun berjaya dihentikan oleh Tun Mahathir.
Beliau marah dan menuduh Najib sebagai ‘kleptokrasi’ kerana menghentikan amalan ‘kasi kroni’ yang biasa diamalkan sepanjang 22 tahun beliau sebagai Perdana Menteri keempat.
Tindakannya yang cuba mengaibkan Najib hanya membuka pekungnya sendiri, yang kini satu persatu terbongkar dengan sendirinya.
Jelas rakyat kini mengetahui dan menyesali apa yang berlaku termasuk penjawat awam yang ramai mengundi Pakatan Harapan, di mana kini mereka sendiri merasai keperitan dan terpaksa mengikut saranan Tun Mahathir untuk mengikat perut.
Tetapi Tun Mahathir turut memberikan saranan terbaru beliau agar rakyat meminum sesudu minyak sawit sehari – mungkin sebagai petua untuk menahan lapar tanpa perlu bersusah payah mengikat perut dan mampu memanjangkan usia.
Apatah lagi dengan hanya sesudu minyak sawit sehari, rakyat juga akan awet muda, indeks kebahagiaan rakyat akan meningkat, harga sawit juga akan dipulihkan.
Syabas, kerajaan akhirnya bukan sahaja berjaya mencari jalan bagi mengatasi kejatuhan harga sawit di pasaran malah kini tidak perlu lagi bergantung kepada eksport ke luar negara dan rakyatnya kembali bahagia.
Ayuh, kita sahut saranan Perdana Menteri dengan minum sesudu minyak sawit sehari, anda akan panjang umur, awet muda, bertambah gembira dan tidak perlu mengikat perut.