KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PERKASA MALAYSIA
23 April 2019 | 17 Syaaban 1440Hl
Oleh Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Ketua Penerangan PERKASA Malaysia
1. Matrikulasi adalah sebuah program pendidikan terbaik bagi menyediakan para pelajar sebelum melangkah masuk ke universiti. Kewujudan matrikulasi membuka ruang untuk para pelajarnya yang cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke bidang profesional seperti perubatan, farmasi, pergigian, perundangan dan lain-lain.
2. Matrikulasi yang membuka peluang kemasukannya kepada 90% pelajar Bumiputera sebelum ini seharusnya tidak perlu dipertikai dan dicabar. Pengekalan dasar penawaran 90% tempat kepada pelajar Bumiputera bagi Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan selaras dengan matlamat asal program itu dalam membangunkan potensi kaum Bumiputera.
3. Hal ini bukan bermaksud ingin mewujudkan diskriminasi kepada mana-mana kaum di Malaysia. Hal ini juga jelas dengan majoriti komposisi penduduk di Malaysia dan jumlah pelajar Bumiputera lepasan SPM yang lahir setiap tahun. Pertikaian dan tekanan yang dibuat oleh segelintir rakyat Malaysia beberapa hari ini memperlihat seperti tiada lagi peluang dan pilihan bagi para pelajar lepasan SPM bagi bukan Bumiputera bagi menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.
Masih terdapat politeknik yang sentiasa mengalu-alukan para pelajar mendaftar dan mengikuti dalam proses penyediaan pelajarnya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Ia juga telah dibuktikan ramai pelajar politeknik dari kalangan bukan Bumiputera yang berjaya menyambung pengajian hingga ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran di universiti-universiti awam.
4. Walaupun Matrikulasi ini tidak membuka kuota lebih pada bangsa lain, KPM juga menawarkan program prauniversiti iaitu melalui kemasukan pelajar di kolej dan sekolah tingkatan 6 dan menduduki peperiksaan STPM di sekolah-sekolah tempatan yang mana ia juga menyediakan para pelajarnya untuk memasuki ke program Ijazah Sarjana Muda di universiti-universiti awam.
5. Usaha ini melambangkan tiada pengecualian dari pihak kerajaan untuk memastikan seluruh rakyatnya mendapat pendidikan terbaik di samping meningkatkan kebolehpasaran para graduan di dalam negara.
Penyediaan tempat untuk melanjutkan pengajian di matrikulasi ini juga bukanlah bersifat hanya menyuap sesuatu kaum sahaja sehingga tidak menjadikan mereka berdaya saing, kerana terdapat pelbagai lagi alternatif prauniversiti yang lain yang turut melahirkan pelajar cemerlang dan seterusnya setiap daripada mereka perlu bersaing bagi mendapatkan tempat ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti.
6. Oleh itu, PERKASA menggesa agar kuota Bumiputera di matrikulasi ini dikekalkan seperti sedia kala kerana terdapat banyak lagi pilihan pusat pendidikan di bawah KPM yang turut menyediakan pelajarnya bagi kemasukan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
PERKASA juga menyokong fokus kerajaan ingin mengutamakan 60% penawaran matrikulasi kepada pelajar cemerlang dari keluarga golongan B40 dan kemungkinan ia boleh dibesarkan lagi kepada 70% pada masa akan datang kerana sehingga kini makin ramai kelompok B40 yang terhasil akibat tekanan kos sara hidup.
PERKASA juga berharap agar kabinet dapat membuat keputusan sewajarnya dan tidak terikut-ikut dengan rentak tekanan yang dibuat oleh segelintir masyarakat kerana mendokong agenda tertentu.
Sekian.