PERKASA GESA PDRM JELAS DAKWAAN ANGGOTANYA DIRASUAH PEMANDU LORI WARGA ASING

375
SHARES
2.2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERKASA MALAYSIA

8 Julai 2022

1. PERKASA terpanggil untuk membuat kenyataan berkaitan satu video yang telah ditularkan secara meluas melalui media sosial yang membabitkan pegawai polis peronda yang didakwa mengambil rasuah daripada pemandu lori warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Rujuk video tersebut di pautan; https://youtu.be/KycTolC5gzA

2. Bagaimanapun pihak Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof telah menafikan dakwaan polis tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori itu sepertimana yang didakwa oleh individu yang merakam video tersebut.

3. Apapun penafian yang dibuat oleh pihak polis, PERKASA ingin mempersoalkan beberapa perkara. Pertama, mengapa pihak polis yang menahan dan menyaman pemandu lori itu membenarkannya terus memandu selepas disaman, sedangkan polis tersebut sudah tahu pemandu tersebut tiada mempunyai lesen memandu.

4. Kedua, kenapa anggota polis tersebut tidak menahan lori tersebut dan menghubungi pemilik lori atau majikan pemandu tersebut supaya hadir ke tempat kejadian untuk menyaman dan membawa pulang lori tersebut kerana pekerjanya tidak mempunyai lesen memandu

5. Ketiga, apabila video tersebut ditularkan, di mana pemandu lori warga asing tidak berlesen itu turut mengaku memberi suapan sebanyak RM300 kepada anggota polis yang menahannya, kenapa pihak polis terus menafikan dakwaan tersebut? Persoalannya kenapa pihak polis tidak mencari warga asing tersebut untuk ditahan atas kesalahan memfitnah anggota polis?

6. PERKASA juga merasa agak pelik apabila ada penafian daripada pihak polis yang mengesahkan saman telah dikeluarkan kepada pemandu tersebut, tetapi apabila pemandu itu ditahan oleh perakam video tersebut, beliau tidak pula menunjukkan kertas saman yang diterima tetapi mengaku telah memberi rasuah sebanyak RM300 kepada polis yang menahannya. PERKASA percaya jika pemandu itu benar-benar telah disaman, pastinya beliau akan menunjukkan bukti disaman kepada perakam video tersebut melainkan beliau sengaja mahu mangaibkan pasukan polis.

6. Maka PERKASA menggesa satu siasatan serius dijalankan dan tindakan yang tegas perlu dikenakan bagi memastikan pemandu-pemandu warga asing tidak lagi berani memandu tanpa mempunyai lesen yang sah. Tindakan yang lebih tegas juga wajar dikenakan terhadap majikan-majikan yang berani melanggar undang-undang dengan sengaja membenarkan pekerja asing memandu kenderaan syarikat tanpa lesen memandu. 

7. Tindakan tegas juga perlu dikenakan terhadap perakam video jika terbukti beliau hanya membuat tuduhan tidak berasas terhadap anggota polis sedangkan perakam perlu lebih bertanggungjawab dengan mengadu terus kepada pihak SPRM, bukannya terus menularkan video yang belum diketahui kasahihannya. 

7. Selain itu, PERKASA juga amat kesal dengan tindakan polis yang membiarkan pemandu warga asing tersebut terus memandu selepas disaman kerana memandu lori tanpa mempunyai lesen. Bagaimana jika selepas itu beliau melanggar penunggang motosikal atau pejalan kaki sehingga menyebabkan kematian? Ketika itu, siapa yang akan dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan? 

8. Sehubungan itu, PERKASA menuntut penjelasan segera daripada pihak polis kenapa ada anggotanya membiarkan pemandu lori warga asing tanpa lesen dibiarkan terus memandu selepas disaman? Adakah warga asing itu telah dicari dan ditahan kerana memfitnah anggota polis menerima sogokan sebanyak RM300?

9. Saya percaya jika benar-benar saman telah dikeluarkan, tentu semua maklumat mengenai pemandu lori itu dan majikannya diketahui oleh pihak polis, justeru mereka boleh bertindak dengan segera bagi membetulkan tanggapan negatif terhadap pasukan polis atas kejadian tersebut. Ini kerana tidak mungkin pasukan polis sanggup menerima fitnah yang dibuat oleh seorang warga asing terhadap anggota mereka dan membiarkannya begitu sahaja. Tahan dan siasat mereka semua dengan segera. 

10. Justeru itu, PERKASA menyarankan semua anggota polis menjalankan tanggungjawab dengan penuh berhati-hati dan mengikut undang-undang. Zaman media sosial dan teknologi tanpa sempadan ini kadangkala perkara yang positif boleh menjadi negatif. Begitu juga perkara negatif kadangkala mahu ditonjolkan sebagai positif. Sentiasalah beringat bahawa segala tingkah laku anggota polis sentiasa menjadi perhatian warga media sosial.

Terima kasih. 

Syed Hassan Syed Ali

Setiausaha Agung PERKASA 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts