SETAHUN MEMERINTAH, MAHATHIR MASIH GAGAL FAHAMI PUNCA PH DITOLAK

289
SHARES
786
VIEWS

Perdana Menteri ketujuh, Tun Mahathir Mohamad membuat kenyataan pada 8 Mei lepas yang dipetik Bernama, di mana beliau mengakui bahawa sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan merosot kerana ketegasan kerajaan dalam memerangi perbuatan rasuah.

Walaupun agak sukar untuk kita memahami logik Tun Mahathir yang telah berusia 94 tahun ini namun beliau memberikan jawapannya iaitu, “Terdapat kumpulan tertentu yang tidak lagi mendapat gaji ‘ekstra’ daripada pihak tertentu yang mengamalkan korupsi”.

Beliau menambah, “Golongan tertentu itu berasa kecewa apabila tidak lagi mendapat pendapatan tambahan setiap bulan hasil penyelewengan mereka”.

Tun Mahathir juga menyalahkan kerajaan sebelum ini kerana menurut beliau perbuatan memberi wang kepada golongan tertentu oleh kerajaan terdahulu menyebabkan golongan berkenaan kecewa dengan kerajaan PH.

“Memang kerajaan dahulu mereka beri duit yang banyak kepada macam-macam golongan, nelayan dapat gaji, kalau tak dapat ikan pun dapat gaji RM300 sebulan, bujang dapat RM450, BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) lagi, macam-macam orang dapat duit.”

“Kalau kita nak amal benda yang semacam ini samalah kita juga korup macam itulah. Nak beli sokongan dengan memberi wang itu rasuah.”

“Kita tak boleh buat macam itu dan kita tak ada duit pun nak buat pasal kita tak curi duit.”

Adakah ini membawa maksud bahawa Tun Mahathir menyalahkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini kerana gigih memberi pelbagai bantuan kepada rakyatnya sendiri.

Sebenarnya Tun Mahathir tidak sedar atau buat-buat tidak sedar bahawa hakikat rakyat menolak kerajaan Pakatan Harapan adalah berpunca daripada dirinya sendiri yang gagal memainkan peranan selaku Perdana Menteri yang sepatutnya prihatin dan mempunyai perasaan ihsan dengan rakyatnya.

Kerajaan beliau bukan sahaja dilihat menarik kembali pelbagai bantuan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat malah Tun Mahathir sendiri kelihatan angkuh dan sering memperlekeh rakyat yang layak menerima bantuan.

Rakyat mula marah, menolak dan semakin tidak berpuas hati dengan kerajaan kerana Tun Mahathir sendiri selaku Perdana Menteri asyik memberikan alasan dan menyalahkan apa sahaja inisiatif dan bantuan sebelum ini, walaupun ia jelas membantu rakyat golongan bawahan.

Apa yang lebih malang, Tun Mahathir menyamakan bantuan kepada rakyat tersebut sebagai rasuah.

Hakikatnya, bukan sahaja Malaysia bahkan negara jiran seperti Singapura, Brunei dan negara maju lain  turut memberikan pelbagai bantuan sama ada secara tunai ataupun kemudahan kepada rakyat mereka kerana ini adalah antara tanggungjawab utama setiap kerajaan.

Rakyat tidak faham mengapa Tun Mahathir sendiri tidak boleh memahami satu perkara yang sangat mudah dalam mentadbir kerajaan sedangkan beliau sendiri berpengalaman selama 22 tahun selaku Perdana Menteri.

Kerajaan sesebuah negara wajib membantu rakyatnya dalam apa jua cara, tidak kira sama ada bantuan tunai, pengangkutan, kemudahan perubatan, pendidikan dan lain-lain termasuklah juga mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyatnya.

Jika kerajaan boleh membuka kira-kira tujuh juta peluang pekerjaan kepada warga asing yang berada di negara ini maka tidak sukar jika kerajaan betul-betul hendak membantu rakyatnya, sekurang-kurangnya  mulakan dengan menepati janji mereka sendiri iaitu mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan jika berjaya menawan Putrajaya.

Ini semua perlu dilaksanakan oleh sesebuah kerajaan bagi kesejahteraan rakyatnya dan untuk itulah kerajaan itu dipilih oleh rakyat.

Sudah setahunpun memerintah, cukup-cukuplah memberi alasan yang tidak masuk akal demi menutup kegagalan Pakatan Harapan memerintah.

Namun jika tidak mampu juga, Tun Mahathir wajar bertanggungjawab dan berundur segera sebelum semakin banyak kegagalan yang dilakukan, yang akhirnya tidak mungkin tertampung dengan sebarang alasan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts