MUAFAKAT berasa bimbang apabila Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik membuat kenyataan di laman sosial medianya dengan berkata; “Saya tidak sesekali menyebut dan menyatakan untuk menolak cadangan subjek mengenali agama lain seperti yang dilaporkan” semalam bertarikh 19 Mei, amatlah dikesali.
Kemelut ini timbul apabila ada cadangan dangkal yang mengesyorkan agar pelajar murid Islam supaya bukan hanya belajar agama Islam tetapi juga belajar mengenali agama lain, cadangan ini amatlah tidak praktikal.
Ini kerana adalah mustahil pada usia yang masih mentah seorang murid itu sudah berupaya membezakan antara yang haq dan batil. Sayugianya ia menumpu sepenuh masanya belajar kerana pada usia itu masa amat terhad, manakala ilmu agama yang perlu dipelajari bagi memahami ilmu Islam yang terlalu banyak, maka tentu sekali ianya suatu yang sia-sia untuk menambahkan lagi satu mata pelajaran yang tidak bersesuaian untuk dimasukkan ke dalam silibus peringkat awal pembelajaran.
Tidak ada sebab dan tidak ada keterdesakan apapun sehingga perlunya bagi kementerian menambahkan lagi beban pelajar dengan pelajaran mengenal agama lain. Melainkan tujuan cadangan itu seolah-olah mahu meliberalkan pemikiran murid di seawal pendidikan di sekolah rendah.
Jika diamati secara halus cadangan tersebut seolah-olah seperti suatu usaha hendak menerapkan fahaman sesat pluralisme pada minda anak-anak murid sekolah rendah atau sekolah menengah yang keadaan mindanya masa itu masih bersih daripada fahaman sesat pluralisme.
Ahli Sunnah Wal-Jamaah terang-terangan menolak fahaman pluralisme ini dan MUAFAKAT pernah menganjurkan wacana bertema; PLURALISME AGAMA: Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah, tahun 2012 dahulu. Dan ternyata kini, bahaya itu sudah semakin melebarkan sayapnya hari ini.
Ketidakpekaan pihak berwajib dalam menangani dan meneliti bahayanya fahaman-fahaman sesat yang sedang cuba diterapkan di kalangan murid-murid sekolah amat membimbangkan, ini terbukti sebagaimana pernah dilaporkan dalam akhbar bagaimana mubaligh Kristian cuba mengedar risalah Kristianisasi kepada murid-murid sekolah menengah di Pulau Pinang sebelum ini.
Justeru, tindakan Dr. Maszlee Malik “menafikan tidak bersetuju” dengan cadangan bahaya ini amat dikesali sekali dan berharap agar beliau lebih peka dan kukuh sebagai umat Islam mempertahan dan menyelamatkan akidah umat Islam daripada disesatkan dengan fahaman-fahaman sesat oleh mana-mana pihak yang tidak senang dengan agama Islam yang murni ini.
MUAFAKAT mendesak agar Menteri Pendidikan mengkaji kesan positif atau negatif pelaksanaannya untuk jangka pendek dan panjang, sekiranya pelajaran tambahan ini diteruskan.
Ia bagi mengelakkan kesan buruk pada minda murid dan akibatnya Islam menjadi semakin jauh daripada minda masyarakat Islam.
Beliau seharusnya mengambil sikap tegas dan kekal dengan kredibiliti prinsip yang benar dalam menjaga akidah umat Islam.
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT