MADANI: SATU IJTIHAD KOLEKTIF BAWA PERUBAHAN KEPADA RAKYAT, NEGARA

342
SHARES
2k
VIEWS

1. Islam ialah agama yang bersumberkan wahyu, iaitu teks Al-Quran dan hadis yang sahih. Islam hanyalah satu, tidak ada versi Islam berbeza.

2. Namun cara manusia memahami Islam itu ada banyak perbezaan. Teks atau nas berkaitan akidah atau kepercayaan, cara beribadat, akhlak ataupun nilai, ialah teks yang jelas dan putus, jarang sekali menerima sebarang perbezaan faham. Seperti nas yang menegaskan Allah itu hanya Tuhan yang esa, tiada dua atau berbilang, nas berkaitan cara menunaikan solat dan nas berkaitan nilai jujur dan amanah, tidak khianat perjanjian, semua itu nas yang tidak diperselisihkan fahamannya. Dalam istilah Arabnya dipanggil al-Qat’iyyat.

3. Namun teks atau nas yang berkaitan urusan hubungan sesama manusia atau muamalat, urusan siasah atau politik pemerintahan dan ekonomi, selalunya terbuka kepada kepelbagaian tafsiran. Hal itu sesuai dengan perkembangan dan perubahan hidup manusia yang berubah-ubah mengikut zaman, tempat dan budaya. Yang ini dipanggil al-Dzanniyat.

4. Lantaran itu, dalam ilmu fikah (yang dalilnya dzanni) terdapat lebih daripada sepuluh mazhab dalam Islam. Empat daripadanya mempunyai pengikut yang ramai sehingga hari ini, iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hambali. Imam-imam pengasas mazhab itu berselisih pendapat dalam perkara yang dibenarkan perbezaan pendapat. Nas atau teks yang dzanni atau mempunyai pelbagai tafsiran disebabkan satu tafsiran itu hanya berada di peringkat andaian kuat (dzan ghalib) bahawa ia benar, bukan pasti (qat’ie atau yaqin) benar.

5. Seseorang mujtahid yang berusaha (ijtihad) mencari kebenaran sehingga hatinya tenang berpegang kepada sesuatu pendapat atau tafsiran itu dikira mendapat satu pahala, walaupun pendapat itu salah di sisi Allah SWT. Manakala seseorang mujtahid yang berijtihad lalu pendapat yang dipilihnya itu bertepatan dengan kehendak Allah SWT, maka dia diberikan dua pahala. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

Apabila seseorang hakim (pemutus hukum) berijtihad (untuk mengeluarkan hukum/pendapat) lalu dia menepati hukum Allah, dia mendapat dua pahala. Seseorang hakim yang berijtihad lalu pendapatnya tersilap, dia mendapat satu pahala” (Riwayat al-Bukhari no. 7352 dan Muslim no. 3240)

6. Di atas dasar keharusan mengeluarkan usaha sendiri untuk mencapai pendapat yang terbaik dalam nas atau teks yang dzanni, para ulama yang insaf dan jujur menghormati pendapat satu sama lain tanpa memperlekeh atau menjatuhkan hukuman sesat, fasiq atau kafir terhadap lawan yang mempunyai pendapat berbeza.

7. Bahkan diriwayatkan bahawa Imam al-Syafi’e pernah berkata, mafhumnya; “Pendapatku benar, namun ada andaian salah. Pendapat selain daripadaku salah, tetapi ada kemungkinan benar.”

Gurunya Imam Malik Bin Anas pula dilaporkan berkata: “Setiap orang itu boleh diterima atau ditolak pendapatnya, melainkan (Rasul) yang maksum.”

8. Dalam mencari kaedah atau gagasan yang terbaik untuk menguruskan negara, Islam tidak menentukan secara jelas berdasarkan nas. Para ulama tidak pernah mengatakan sistem beraja itu salah, atau sistem demokrasi itu betul atau sebaliknya. Bahkan kedua-duanya boleh jadi betul jika dilaksanakan oleh pemimpin yang adil. Jika pemimpin itu tidak adil, kedua-duanya boleh menjadi salah.

9. Demikian juga dalam mencari pendekatan untuk melaksanakan agenda negara, Islam tidak menetapkan dasar, kaedah atau gagasan tertentu. Sama ada ia adalah dasar penerapan nilai-nilai Islam, atau Islam Hadhari, atau Wasatiyah, atau Rahmatan lil ‘Alamin atau Madani, ia hanyalah satu ijtihad pemimpin dengan bantuan pasukannya. Ia menunjukkan inisiatif para pemimpin negara ini untuk melaksanakan ajaran Islam dalam bentuk yang sederhana dan sesuai dengan konteks semasa dalam pentadbiran negara.

10. Madani menurut definisinya merupakan sintesis gaya Malaysia yang menggabung jalin amalan sedia ada dengan kaedah baru yang direka untuk menangani isu-isu baharu dan ketidakpastian. Ia diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan, dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.

11. Mendakwa mana-mana gagasan atau agenda itu sebagai bercanggah atau sesat tanpa menunjukkan bukti ia bercanggah dengan agama, ialah satu sikap bangkangan yang tidak produktif untuk kebaikan negara.

12. Membuat dakwaan kesesatan sesuatu gagasan hanya dengan ukuran sokongan orang bukan Islam di dalam dan luar negara “yang memusuhi Islam” adalah dakwaan yang terpesong dari jalan para ulama mujtahidin yang ikhlas dalam perbezaan pendapat.

13. Jelas sekali, gagasan Madani yang dibawa oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim ialah satu ijtihad kolektif yang menggabungkan kearifan lama dan baharu, pemimpin dan rakyat untuk melaksanakan ajaran Islam dalam pentadbiran negara dengan pasakan enam nilai teras iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Keenam-enam nilai ini juga tidak bercanggah dengan mana-mana agama. Justeru setiap anggota masyarakat perlu berpegang dan melaksanakannya.

14. Sepatutnya sesuatu idea yang baik untuk maslahat umum dan tidak dibuktikan buruknya wajiblah disokong dan dibantu untuk dilaksanakan, bukan ditentang hanya disebabkan perasaan tidak suka. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “[…] Dan bantu-membantulah kamu dalam perkara kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan […]” (Surah al-Maaidah: 2)

15. Bagaimana seruan satu gagasan untuk membawa nilai-nilai positif demi kemakmuran negara dikatakan sesat hanya dengan dakwaan wujudnya sokongan orang bukan Islam yang memusuhi Islam?

16. Ini bukan sahaja menunjukkan krisis ilmu dan kecelaruan pengetahuan, bahkan juga krisis akhlak dan kebobrokan moral.

17. Sebagai rakyat yang sayangkan Malaysia, mari kita libatkan diri secara aktif dalam usaha membangunkan negara berpandukan acuan MADANI. Ia adalah jariah kita bersama.

Ustaz Ali Muda

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts