XAVIER KELUAR PKR, SOKONG PN SEBAGAI AHLI PARLIMEN BEBAS

151
SHARES
487
VIEWS

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengumumkan keluar PKR dan meletakkan jawatan Naib Presiden secara serta merta hari ini. Bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Beliau menyatakan pendiriannya sebagai Ahli Parlimen Bebas menerusi satu surat kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan bertarikh 12 Mac 2021. Dalam surat tersebut Xavier turut memberitahu beliau menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional. 

Beliau menyertai wakil rakyat lain dalam “musim Ahli Parlimen melompat” ini dengan memberi alasan klise bahawa “kerajaan ketika ini memerlukan sokongan bipartisan dalam usaha memerangi wabak COVID-19, usaha vaksinasi dan memulihkan semula ekonomi”. 

Walau bagaimanapun beliau berkata akan meneruskan khidmat di kawasan di Kuala Langat di mana pengundi-pengundi Pakatan Harapan beliau di sana ketika ini sedang kecewa dan tidak sabar-sabar untuk menghukum beliau dan Perikatan Nasional di PRU-15 kelak. 

Beliau juga berkata kononnya beberapa insiden yang berlaku sebelum ini khususnya membabitkan usaha mendesak pilihan raya diadakan segera telah menyebabkan beliau kecewa dan nekad meninggalkan PKR. 

Pengumuman Xavier yang tidak berapa mengejutkan ini dibuat 14 hari selepas dua Ahli Parlimen PKR iaitu Larry Sng Wei Shien (Julau) dan Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau) umum keluar keluar parti pada 28 Februari lepas dan turut menyatakan sokongan terhadap PN dan Muhyiddin – menjadikan tiga Ahli Parlimen PKR telah keluar parti setakat ini dalam masa kurang sebulan bagi menyokong Muhyiddin dan Perikatan Nasional dan dijangka lebih ramai akan menyertai mereka selepas ini. 

Perkara ini juga telah disahkan secara tidak langsung oleh Datuk Seri Azmin Ali melalui tweet terkini beliau laman Twitter-nya iaitu, “1+1+1… dan seterusnya. Alhamdulillah. Kekal tenang.”

Rujuk pautan;

https://mobile.twitter.com/AzminAli/status/1370562703836602372

Sebagai rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah menahan Setiausaha Politik kepada Xavier iaitu Fazly Razally yang direman berhubung siasatan berkait dengan kontrak perlombongan pasir. Beliau ditahan selama lebih seminggu selepas SPRM membebaskan MA Tinagaran yang dikatakan sebagai rakan keluarga terdekat Xavier. 

Tinagaran ditahan bersama-sama dua pengarah syarikat dalam satu serbuan di mana SPRM turut merampas wang tunai sebanyak RM1.2 juta serta kereta mewah. SPRM turut membekukan akaun bank individu dan syarikat yang jumlah keseluruhannya adalah sebanyak RM77 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki turut mengesahkan yang Xavier juga sedang dalam siasatan SPRM. 

Berita yang disiarkan di portal MalaysiaNow yang juga dikaitkan dengan Azmin ini memetik kenyataan “sumber yang mengetahui berhubung siasatan rasuah dikaitkan dengan kementerian air, tanah dan sumber asli yang diketuai Xavier sebelum ini”. Rujuk pautan;

https://www.malaysianow.com/berita/2021/03/03/sprm-tahan-setiausaha-politik-xavier-dalam-siasatan-kes-rasuah

Dengan usaha terkini membawa keluar beberapa Ahli Parlimen PKR bagi menguatkan sokongan terhadap Muhyiddin dan Perikatan Nasional yang sebelum ini semakin berkurangan, jelas menunjukkan bahawa Azmin wajar meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Muhyiddin sebagai sebahagian daripada rundingan “scheme of thing” yang dilancarkan Muhyiddin sendiri sebelum ini untuk membalas jasa Azmin.

Walaupun pelan menawarkan jawatan Muhyiddin ini dilihat hanya menguntungkan dalam jangka masa pendek sahaja dan menyusahkan mereka kelak kerana bakal dihukum pengundi-pengundi yang melihat mereka mengkhianati parti, tetapi buat pengamalnya perkara ini tidaklah difikirkan sangat kerana yang penting sokongan perlu diraih sebanyak-banyaknya selagi berkesempatan.

Rujuk artikel “Scheme of thing ‘makan diri’, trend melompat parti melemahkan Bersatu dan PN” di pautan;

https://editormalaysia.com/22004/

Selain itu Azmin juga boleh menuntut kerusi Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin kerana sebegitu banyak jasa beliau kepada Perikatan Nasional dengan membawa masuk Ahli Parlimen lompat ketika mereka sangat memerlukannya. Malah rancangan ini sebenarnya sama seperti yang diinginkan oleh Tun Mahathir sebelum ini iaitu untuk Azmin menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri dan bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim – sebelum rancangan ini ‘direncatkan’ dengan video isu semburit yang masih didiamkan oleh Azmin sehingga kini.

Rujuk artikel “Adakah Azmin Perdana Menteri  seterusnya selepas Muhyiddin?” di pautan;

https://editormalaysia.com/16554/

Cuma ketika itu nanti adakah PAS yang kini di dalam Perikatan Nasional akan bersetuju sahaja individu yang terpalit isu semburit tersebut kelak menjadi Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya Perdana Menteri, sekaligus bakal menjadi ‘ketua’ mereka dalam Perikatan Nasional kelak?

Justeru, hanya masa yang akan menentukannya kerana jika sudah rezeki Azmin menjadi Perdana Menteri maka tentu semua parti dalam Perikatan Nasional akan menyokong beliau sepenuhnya, walaupun isu semburit masih kekal misteri sehingga kini. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts