Oleh Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi
Perhimpunan Agung UMNO 2020 sudah selesai. Semoga Annuar Musa kekal tenang.
Annuar Musa mengingatkan pengkritiknya, waktu dia jadi ahli MKT tahun 1990, Zahid belum ahli MKT. Bahkan Zahid juga belum jadi Menteri waktu dia jadi Menteri.
Justeru jangan pertikaikan kesetiaannya kepada parti. Dia lebih awal makan garam.
Kalau begitu sudah tentu Tun Mahathir dan Perdana MenteriĀ sekarang lebih senior daripada Annuar Musa. Masa Tun Mahathir dikalahkan oleh Yusof Rawa 1969, berapa umur Annuar Musa?
Tun Mahathir dan Muhyiddin kedua-duanya jadi Perdana Menteri. Tun Mahathir juga dua kali menjadi Perdana Menteri. Bahkan mereka berdualah yang melantik Annuar jadi Menteri.
Tetapi Tun Mahathir dan Muhyiddin adalah orang yang bertanggungjawab menyebabkan UMNO hilang kuasa di PRU ke-14. UMNO juga hampir diharamkan selepas PRU ke-14.
Maka adakah senioriti dan jawatan adalah ukuran kesetiaan? Sudah tentu patuh keputusan ‘jamaah’ adalah ukuran terbaik kepada kesetiaan.
Kita boleh mengkritik. Tetap apabila parti buat keputusan, kena patuh. Keputusan syura seperti PAU semalam adalah jelas. Kenapa bising lagi secara terbuka. Mana setianya?
Semoga Annuar Musa tidak lupa, ahli UMNO di kampung dan akar umbi yang tidak pernah bermimpi jadi Menteri, mereka sentiasa patuh keputusan parti.
Bukankah mereka itu lebih tulen kesetiaannya? Mereka lebih tulen daripada mereka yang bercakap besar, yang melompat parti dan yang menjadi parasit dalam parti.