SEGERAKAN PENUBUHAN RCI – DR. RAMALAN YUNUS

147
SHARES
473
VIEWS

Alhamdulillah, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi telahpun dilepaskan dari 47 pertuduhan di mahkamah. Kini rakyat menunggu bila Dato’ Seri Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah akan dilepaskan pula.

Ini kerana seperti Zahid, Najib dan Rosmah serta beberapa pemimpin UMNO telah didakwa di mahkamah atas motif politik dan pendakwaan terpilih. Sejauh mana kebenaran perkara itu, sekurang-kurangnya itulah yang terakam dalam minda sebahagian besar rakyat Malaysia.

Idea tersebut telah mencemarkan imej dan kedaulatan sistem keadilan di negara ini. Sesuatu perlu dilakukan bagi ‘membatalkan’ idea tersebut dari benak sebahagian besar rakyat Malaysia.

Tidak ada cara lain untuk membatalkannya melainkan disegerakan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja atau Royal Commission of Inquiry (RCI).

RCI harus ditubuhkan segera bagi membuat siasatan yang menyeluruh terhadap Tun Mahathir, Tommy Thomas dan Latheefa Koya. Siasatan perlu dilakukan berdasarkan kepada kandungan buku tulisan Tommy Thomas iaitu “My story : Justice In The Wilderness“.

Rakyat perlu tahu apa sebenarnya yang telah berlaku kepada sistem keadilan negara sepanjang 22 bulan PH mentadbir negara ini pasca PRU-14. Keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang perlu ditegakkan dan dipertahankan oleh semua pihak.

Atas dasar itu maka 222 Ahli Parlimen Malaysia yang mewakili suara seluruh rakyat Malaysia seharusnya sebulat suara mendesak pihak kerajaan agar penubuhan RCI dapat disegerakan.

Mereka mempunyai kewajipan untuk mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang serta kemuliaan 3 institusi iaitu Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman.

Sekiranya ini tidak berlaku maka sudah sampai masanya bagi YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu menggantung Parlimen Malaysia. Ini kerana Parlimen Malaysia sudah jelas gagal berfungsi dan berperanan untuk menegakkan keadilan buat rakyat Malaysia.

Hampir 10 bulan pasca PRU-15, tiga institusi utama ini dilihat masih gagal untuk memberikan kestabilan politik di negara ini. Tanpa kestabilan politik apakah mungkin kita berupaya untuk memulihkan kembali ekonomi negara?

Bagaimana kita mahu menghadapi fasa “global recession” yang mungkin tidak dapat dielakkan lagi pada tahun 2024 dengan beban konflik politik yang berpanjangan? Sudah pasti keadaan ekonomi pada tahun hadapan akan lebih parah lagi.

Kalau hari inipun keadaan sebahagian besar dari kita sudah separuh mati, apa lagi pada tahun hadapan. Saya bukan mahu menakut-nakutkan sesiapa atau pihak mana sekalipun dengan kenyataan saya ini.

Anda boleh sahaja untuk tidak bersetuju dengan pandangan dan kenyataan saya ini. Ini kerana saya bukan pakar politik dan ekonomi. Saya hanya sekadar pengamat biasa. Tetapi bertanyalah dengan pakar-pakar ekonomi dan kewangan dunia apakah pandangan saya ini jauh meleset atau tidak benar?

Dalam keadaan kita hari ini, kita perlukan suntikan modal baru sekurang-kurangnya USD 1 trillion. Itu bukan jumlah yang sedikit.

Kalau dalam keadaan politik yang stabilpun belum tentu kita mampu mendapatkan modal sebesar itu apatah lagi dalam keadaan politik seperti hari ini.

Atas dasar itu sehingga ke hari ini saya masih meyakini bahawa sebuah “caretaker government” adalah solusi yang terbaik bagi mengeluarkan negara ini dari krisis politik, ekonomi dan kesihatan. Ia masih merupakan bahtera yang terbaik buat kita semua untuk melayari gelombang “the perfect financial storm of all time” pasca Covid-19.

Saya bukan siapa-siapa dan saya tidak ada kemampuan untuk melakukan apa-apa. Saya hanya sekadar mampu mengingatkan sahaja.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts