MAHDZIR KHALID: JIRAN TETANGGA MENEMPA NAMA, MALAYSIA MASIH LEKA MENJAJA POLITIK

106
SHARES
341
VIEWS

JIRAN TETANGGA MENEMPA NAMA, MALAYSIA MASIH LEKA MENJAJA POLITIK

1. Bagi memastikan kebajikan hidup jutaan rakyatnya tidak lagi terus bergelap, Indonesia baru-baru ini memilih untuk menjalin usaha sama pelaburan dengan syarikat perusahaan milik pemerintah China (SOE), Sinohidro, membina empangan hidroelektrik bernilai RM6.6 bilion di Pulau Sumatera dan rela berkorban risiko ancaman habitat orang utan Tapanuli.

2. Kabinet Thailand yang bertindak pantas dan bijak meluluskan peruntukan mencecah RM30 bilion untuk membina landasan keretapi berkelajuan tinggi yang menghubungkan dua lapangan terbang di Bangkok dan Rayong dijangka memberi manfaat ekonomi yang tinggi dan kemakmuran kepada rakyat negara Gajah Putih itu.

3. Kelmarin pula, syarikat ternama United Kingdom, Dyson mengumumkan telah memilih Singapura sebagai lokasi pelaburan terbarunya bernilai hampir RM12 bilion untuk membina kilang kereta kuasa elektrik, sekaligus mengenepikan peluang Malaysia sebagai hub pelaburan strategik syarikat tersebut.

4. Malah syarikat kereta nasional pertama Vietnam, Vinfast, telah mencuri tumpuan dunia pada awal bulan ini dengan melancarkan model terbarunya di Paris Motor Show dalam sebuah majlis gilang-gemilang menjulang “semangat orang Vietnam” di Eropah, sekali gus menempa nama di pentas industri automotif dunia.

5. Perkembangan positif negara-negara jiran kita itu menjelaskan keyakinan tinggi para pelabur terhadap hala tuju dasar kerajaan, kestabilan politik dan merangsang pertumbuhan ekonomi di negara berkenaan di sebalik ketidaktentuan turun naik ekonomi dunia dalam tempoh 6 bulan kebelakangan ini.

6. Namun begitu, kemakmuran potensi pertumbuhan ekonomi itu tidak pula dinikmati Malaysia yang dilihat masih bergelumang dengan situasi politik yang seperti tiada kesudahan serta perubahan keputusan pelbagai projek berimpak tinggi termasuk memansuhkan banyak dasar dan projek mesra rakyat yang diluluskan oleh kerajaan BN terdahulu.

7. Justeru itu demi kebaikan bersama, saya menyeru kepada pihak Kerajaan supaya berpada-padalah berpolitik. Sebaliknya berilah tumpuan kepada agenda pembangunan menuju negara maju dengan meneruskan kesinambungan prinsip “good governance” kerajaan terdahulu demi masa depan negara dan rakyat yang lebih terjamin.

8. Pihak kerajaan sewajarnya tidak membawa negara menuju arah mundur ke belakang. Jika tidak mampu mengotakan janji sekalipun, jangan sesekali diabaikan kebajikan rakyat dan pembangunan negara. Memetik Aristotle, sesebuah negara itu tidak wujud hanya untuk hidup semata-mata, namun meneruskan agenda mewujudkan kehidupan yang lebih baik.

Dato’ Seri Mahdzir Khalid
Naib Presiden UMNO
Ahli Parlimen Padang Terap
24 Oktober 2018

Sila rujuk pautan berikut;
https://www.bbc.com/news/business-45950377

http://www.kosmo.com.my/dunia/habitat-orang-utan-terancam-1.772413

https://www.prnewswire.com/news-releases/vinfast-steals-the-show-in-paris-837483943.html

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts