Seperti yang sudah dijangka, Lim Kit Siang menarik diri daripada berdebat dengan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak walaupun telah menugaskan dua pegawainya iaitu Shahredzan Johan dan Ahmad Faiz Mustafa, untuk berunding dengan pegawai Najib mengenai perdebatan tersebut.
Nampaknya Kit Siang tidaklah seberani mana seperti yang selalu dilaungkan oleh DAP dan Pakatan Harapan, belum apa-apa lagi sudah menarik diri.
Beliau beralasan kononnya menerima ‘segunung nasihat’ melalui emel, Whatsapp dan panggilan telefon termasuk dari luar negara agar jangan berdebat dengan Najib.
Sedangkan inilah peluang bagi beliau untuk ‘mengesahkan’ Najib adalah seorang yang korup, kleptokrasi, serta pembunuh bersiri yang telah membunuh Altantuya, Kevin Morais, Teoh Beng Hock dan lain-lain.
Selain itu alasan beliau kononnya perdebatan tersebut boleh dimanipulasi menjadi satu konflik “Melayu vs Cina”.
Ah, alasan isu rasisme pula ya Kit Siang?
Sedangkan jelas perdebatan ini membuka ruang bagi beliau untuk ‘menghentam’ Najib secara terbuka.
Apatah lagi ia akan disiarkan secara langsung, di mana jika Najib tidak berupaya untuk menangkis serangan beliau, maka kredibiliti Najib akan tercalar teruk.
Malah slogan “Malu Apa Bossku” akan memakan diri dan beliau akan malu dan berkemungkinan slogan ini bakal berakhir.
Penarikan diri Kit Siang dari berdebat dengan Najib yang sering ditohmah dan difitnah olehnya hanya menunjukkan Kit Siang tidak mampu menghadirkan fakta di atas fitnah dan tohmahannya selama ini.
Sedangkan umum mengetahui beliau dan DAP amat pandai mencari peluang untuk memburukkan musuh politik mereka, namun peluang ini disia-siakan.
Beliau risau perkara ini akan terbongkar dan rakyat mengetahuinya secara ‘live‘ apabila debat ini dilangsungkan dan ini tentu menggusarkan beliau, DAP dan Pakatan Harapan secara keseluruhan.
Perkara ini sama seperti persetujuan Najib sebelum ini agar perbicaraan mahkamahnya disiarkan secara langsung, yang juga tidak mahu dipenuhi oleh Pakatan Harapan.
Amat jelas melalui alasan-alasan yang diberikan, bukan hanya beliau bahkan pemimpin-pemimpin dan penyokong beliau sama ada di dalam DAP dan Pakatan Harapan sendiri takut perdebatan ini disiarkan secara langsung.
Mereka sendiri tidak yakin dan menjangkakan Kit Siang akan gagal memberikan fakta, sama seperti anaknya Lim Guan Eng yang kerap memanipulasi fakta walaupun kini telah menjadi Menteri Kewangan.
Antaranya hutang negara dikatakan setinggi 1 trilion ringgit sedangkan Bank Negara dan Jabatan Audit Negara sendiri mengatakan sebaliknya.
Penjualan aset negara dikatakan sebagai pelaburan langsung asing (FDI), kos ECRL berjaya dikurangkan sedangkan ia berkurang adalah kerana stesen dan jajarannya dikurangkan dan pelbagai lagi kesalahan dan penipuan lainnya sejak Mei tahun lepas.
Bila ditonjolkan jawapan sebenar beserta fakta, maka terkial-kial Guan Eng ingin menepis dan akhirnya senyap menikus dengan “data-data fiksyen” rekaannya.
Tentunya dalam perdebatan tersebut kelak perkara-perkara di atas ini turut akan dibangkitkan dan ini yang amat merisaukan Kit Siang, DAP dan Pakatan Harapan.
Justeru kerana itulah beliau ketakutan dan terpaksa membatalkan perdebatan yang telah dipersetujuinya sebelum ini.
Walaupun sejuta alasan beliau hadirkan, rakyat tetap melihat Kit Siang sebagai seorang yang penakut.
Tahniah Kit Siang!