DEBAT NAJIB-KIT SIANG: ANTARA FAKTA DAN AUTA

212
SHARES
533
VIEWS

Lim Kit Siang menggunakan alasan rasisme sebagai alasan menarik diri daripada berdebat dengan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, selain alasan kononnya menerima ‘segunung nasihat’ melalui emel, Whatsapp dan panggilan telefon termasuk dari luar negara agar jangan berdebat.

Selain tidak mahu mengambil peluang membuktikan Najib dan kerajaan Barisan Nasional sebagai mengamal rasuah dan kleptokrasi serta tuduhan membunuh Altantuya, Kevin Morais dan Teoh Beng Hock yang akan disiarkan secara langsung, amat ganjil beliau juga tidak mahu mengambil peluang memusnahkan kredibiliti Najib yang sering mendedahkan penipuan anaknya Lim Guan Eng.

Penarikan diri Kit Siang diburukkan lagi oleh desakan Sanisvara Nethaji Rayer atau RSN Reyer, Ahli Parlimen Jelutong yang ingin berdebat dengan Najib.

Ini kerana desakan Reyer ingin berdebat itu hanya akan menyangkal dan meremehkan alasan rasisme Kit Siang iaitu kononnya “perdebatan tersebut boleh dimanipulasi menjadi satu konflik Melayu vs Cina”.

Jika mengikut logik Kit Siang, tentunya debat Najib dan Reyer akan terlihat seperti “satu konflik Melayu vs India” pula.

Selain itu, tajuk perdebatan tersebut iaitu “Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita menjadi negara berintegriti”, dipilih sendiri oleh Kit Siang dan bukan ditawarkan oleh Najib.

Bagaimana Kit Siang boleh takut dengan tajuknya sendiri melainkan takut dengan fakta-fakta yang akan diketengahkan, yang dapat menyangkal semua tohmahan serta fitnah beliau dan Pakatan Harapan selama ini terhadap Najib dan pentadbirannya.

Kit Siang sebenarnya takut terjerat dengan perangkapnya sendiri dan khuatir masyarakat mendapat tahu bahawa selama ini beliau dan Pakatan Harapan hanya menipu dan membuat fitnah.

Jika mereka benar-benar berani, kenapakah persetujuan Najib untuk perbicaraan di mahkamahnya disiarkan secara langsung, tidak dibenarkan oleh Pakatan Harapan?

Selain itu, kenapakah saranan pelbagai parti, NGO serta janji Pakatan Harapan sendiri sebelum PRU-14 agar diwujudkan Suruhanjaya DiRaja (RCI) bagi menyiasat segala pertuduhan terhadap Najib, sehingga kini diabaikan?

Pelbagai tuduhan yang dilemparkan seperti kes pembunuhan berprofil tinggi Altantuya dan pembelian kapal selam Scorpene, tuduhan menjual negara ke China melalui projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), dua projek saluran paip gas oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER), kerugian Tabung Haji, pembelian tanah TLDM di Sungai Besi dan ‘land swap’ Angkatan Tentera Malaysia serta lain-lain, boleh dirungkai melalui RCI.

Malah Najib sendiri turut menggesa agar kerajaan berani untuk mewujudkan RCI ini kerana beliau yakin mampu membersihkan namanya melalui suruhanjaya tersebut.

Namun kenapa setelah menang dan menguasai semua jabatan berkaitan yang berupaya menyiasat Najib dan Barisan Nasional, Kit Siang dan partinya DAP serta pihak kerajaan sendiri kelihatan takut menyiasat Najib secara terbuka?

Apa yang Kit Siang dan Pakatan Harapan ingin sorokkan dari pengetahuan rakyat Malaysia sebenarnya?

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts