LANTIKAN LATHEEFA KOYA SEBAGAI KP SPRM BUKTI MAHATHIR TIDAK AMBIL PEDULI HAL NEGARA?

480
SHARES
2.4k
VIEWS

Lantikan Latheefa Beebi Koya selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara unilateral, tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri Kabinet, Jawatankuasa Pemilihan Parlimen ataupun Council of President Pakatan Harapan, hanya mengundang persepsi negatif banyak pihak, termasuk bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuntut penjelasan Perdana Menteri agar tidak timbul pelbagai dakwaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

Ia juga membuktikan Perdana Menteri Tun Mahathir  Mohamad kerap membelakangkan Manifesto dan perjanjian dalam Pakatan Harapan  itu sendiri yang telah dipersetujui  dan menjadi penanda aras bersama sebelum ini.

Tindakan Mahathir ini sama seperti ketika beliau membelakangkan parti Warisan dan Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal, apabila Mahathir memungkiri janjinya agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak melebarkan sayapnya ke Sabah.

Terdapat dua spekulasi utama yang berlegar di sebalik lantikan ahli politik PKR yang juga Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty ini iaitu;

Pertama, sama ada lantikan ini bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Anwar Ibrahim dan kedua, adakah ia bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Mahathir dalam Pakatan Harapan?

Jawapan Mahathir dan persoalan Anwar secara tidak langsung menjawab spekulasi tersebut tanpa perlu bersusah payah meneliti pelbagai kritikan Latheefa selama ini terhadap Presiden partinya sendiri iaitu Anwar.

1) Mahathir akui beliau melantik Latheefa secara bersendirian dengan menggunakan hak prerogatifnya sebagai Perdana Menteri – yang menunjukkan beliau masih bersikap veto dan sering membuat keputusan mengikut ‘kepala’nya sendiri sejak dahulu lagi.

2) Mahathir kata perlu ada elemen kejutan seperti lantikan Latheefa agar menteri kabinet tidak berasa terlalu selesa.

3) Anwar menuntut Mahathir membuat penjelasan kerana beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut, kerana Latheefa hanya mengisytihar keluar PKR apabila mengetahui akan menerima lantikan, seperti yang dimaklumkan oleh Saifuddin Nasution, Setiusaha Agung PKR.

Selain itu kenyataan Mahathir mengenai  Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum ini iaitu Datuk Shukri Abdull bahawa beliau sudah lama memohon untuk berundur sejak tahun lalu juga menguatkan spekulasi bahawa Mahathir sebenarnya tidak berpuas hati dengan beliau.

Jika dari tahun lepas lagi Shukri sudah menyuarakan hasrat untuk berhenti, ini bermakna ia berlaku hanya selepas beberapa bulan beliau menjawat jawatan Ketua Pesuruhjaya, bertentangan dengan kenyataan beliau kononnya memohon berhenti kerana SPRM berada di landasan yang tepat.

SPRM masih belum berada di landasan yang tepat kerana masa beliau menjawat jawatan begitu singkat, kritikan terhadap kes-kes pendakwaan terpilih serta isu pembongkaran skandal terowong Lim Guan Eng yang didiamkan oleh SPRM walaupun pelbagai bukti disediakan.

Paling utama adalah mengenai siasatan 1MDB itu sendiri masih gagal dilengkapkan oleh SPRM sehingga kini yang tentunya menjadi punca utama beliau perlu disingkirkan.

Ini selari dengan kenyataan terakhir mengenai siasatan kes ini oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki pada 31 Ogos tahun lepas, yang menyatakan kes tersebut sudah 60 peratus selesai.

Ini membuktikan SPRM masih gagal melengkapkan siasatan tersebut kerana selepas itu tiada sebarang makluman lanjut atau sidang media dibuat selepas tarikh tersebut mengenai perkembangan siasatan 1MDB.

Sedangkan SPRM di bawah Shukri dan Azam Baki sebegitu ghairah membuat pelbagai pengumuman dan kenyataan akhbar yang kerap mendapat kecaman dari pelbagai pihak, namun kemudiannya kelihatan hilang arah dan tumpuan dalam kes 1MDB.

Ini diburukkan lagi apabila saksi Peguam Negara sendiri mengakui dalam perbicaraan SRC mengenai pengetahuan bank CIMB, Bank Negara Malaysia (BNM) serta Tan Sri Zeti selaku Governor BNM ketika itu,  mengenai pemberian dana 2.6 bilion ringgit yang diberi oleh kerabat DiRaja Arab Saudi.

Perlu juga diketahui bahawa Shukri turut menganggotai satu badan khas bagi menyiasat 1MDB yang dikenali sebagai Pasukan Khas Siasatan 1MDB yang turut dianggotai bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Datuk Abdul Hamid bin Bador bekas Ketua Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang kini menggalas jawatan Ketua Polis Negara (KPN).

Melalui dua badan ini, Shukri masih gagal memuaskan hati Perdana Menteri yang sentiasa mengatakan Najib sebagai pencuri dan perompak  harta negara, yang dilihat semakin membebani kerajaan Pakatan Harapan yang semakin bermasalah berhadapan dengan defisit kepercayaan rakyat terhadap ketelusan pemerintahan mereka.

Walaupun kelihatannya Mahathir berpuas hati dengan prestasi Hamid Bador yang mendapat ‘reward‘ menjadi KPN namun berbeza dengan Shukri yang tidak bernasib baik dan terpaksa mengikut “old way of the old man” dengan meletakkan jawatan lebih awal untuk digantikan dengan individu yang dipercayai Perdana Menteri.

Malah Mahathir juga menjelaskan mengenai ‘reward‘ ini melalui pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana menurut beliau, Latheefa turut bekerja keras bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan dan adalah tidak adil jika tidak melantik mereka yang layak ke jawatan bersesuaian, walaupun ia bertentangan dengan Manifesto Pakatan Harapan itu sendiri.

Maka rugi dan sia-sialah  Shukri ‘bersandiwara’ dengan membuat kenyataan akhbar sambil menangis-nangis sebelum ini mengenangkan dirinya ‘diperlakukan sebegitu rupa’ oleh kerajaan lama namun kemudiannya beliau mendapat balasan setimpal yang mengaibkan dirinya sendiri apabila diperlakukan seperti ‘sampah’ oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Shukri wajib bertanggungjawab atas kegagalan menyempurnakan satu-satunya tugas utama beliau iaitu melengkapkan siasatan 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang menjadi fokus utama fitnah  Pakatan Harapan terhadap kerajaan Barisan Nasional sejak 2015.

Walau apapun alasan beliau, Shukri tidak dapat mengelak daripada prasangka dan persepsi buruk  masyarakat terhadapnya apabila peletakan jawatan awal ini dianggap kerana mendapat tekanan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Apatah lagi ia menjadi alasan kukuh buat Tommy Thomas, Pejabat Peguam Negara dan DAP untuk berselindung di sebalik kegagalan mereka menyabitkan Najib dengan pelbagai tuduhan walaupun sudah lebih setahun memerintah, kerana SPRM dan Pasukan Khas Menyiasat 1MDB sendiri masih gagal menyediakan bukti kukuh untuk membantu Tommy Thomas dan pihak pendakwaan di mahkamah.

Namun di sebalik pelbagai bantahan, kritikan, kecaman dan kekecewaan yang disuarakan oleh pembangkang, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan masyarakat, mungkin yang paling terkesan sekali adalah Azam Baki dan warga SPRM yang terpaksa menerima ‘hadiah’ Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui lantikan luar dan bukannya dalam kalangan warga kanan SPRM atau penjawat awam itu sendiri. 

Wujud satu persoalan yang lebih utama iaitu, jika Mahathir masih boleh ‘menunjukkan taringnya’ selaku Perdana Menteri dalam isu pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM ini, maka tentunya beliau juga boleh membuat perkara yang sama terhadap lantikan-lantikan dan dasar-dasar kerajaan lain yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan Melayu khasnya.

Ini termasuk isu penganiayaan terhadap arwah Muhammad Adib yang Mahathir sendiri sifatkan sebagai “cubaan untuk membunuh” dan bukan hanya membiarkan menteri-menteri kabinet dan pemimpin Pakatan Harapan berbuat sesuka hati selama ini tanpa ditegur.

Justeru amat jelas Mahathir hanya akan bertindak apabila merasakan diri dan kedudukan beliau serta keluarga tergugat, tidak menghiraukan apa yang telah dan akan terjadi kepada Islam dan Melayu di negara ini melainkan jika ia berkait rapat dengan survival politik dirinya dan kaum keluarganya.

Tidak seperti rakan baiknya Tun Daim yang lebih mengutamakan negara sehingga agamapun beliau sanggup kesampingkan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts