14 KEMATIAN BUKAN PERKARA REMEH – SEPATUTNYA ISU NASIONAL

620
SHARES
2.3k
VIEWS

Adakah setelah mencecah 50 hingga 100 kematian baru boleh suatu bencana itu diklasifikasikan sebagai isu nasional? Apakah 14 nyawa ini masih dikira sebagai perkara kecil?

1. MUAFAKAT amat memandang serius terhadap tragedi yang memalukan negara ini. Belum sampai setahun, sebelum ini negara berdepan dengan kes pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang kemudian kes pencemaran lori terbalik di Sungai Masai Utama, Taman Rinting, juga di Johor.

2. Paling mengejutkan apabila berita dari luar negara dalam program televisyen 60 Minutes terbitan Nine Network, Australia melaporkan Malaysia menjadi “tong sampah” bagi sisa plastik dari negara itu. Susulannya terbongkar rahsia apabila Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Malaysia memberitahu sebenarnya Malaysia telah menjadi tong sampah bagi 33 negara, ini termasuk sampah yang diimpot dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Sepanyol, Perancis, Jerman, Ireland, Jepun dan seterusnya yang menjadikan Malaysia sebagai mangsa.

3. Kini timbul pula isu pencemaran air yang hari ini melaporkan telah meragut 14 nyawa Orang Asli suku Batek, di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, dengan 83 orang disahkan telah dijangkiti daripada 186 orang di perkampungan tersebut.

4. Kenapa sehingga 14 nyawa melayang, kementerian yang bertanggungjawab antaranya: Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, tidak kelihatan sebaliknya yang muncul hanyalah Menteri dari Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional, di mana relevannya?

5. Rakyat harus tahu akan perkara ini, ia bukan lagi perkara yang remeh-temeh seperti isu anak Mat Sabu terlibat dalam penyalahgunaan dadah, atau cadangan supaya kerajaan menanam pokok ganja, atau menggalak supaya rakyat minum minyak kelapa sawit, ataupun siapa bakal jadi CEO TMNet yang terbaru?

6. Ini isu yang melibatkan nyawa rakyat dan telahpun berlaku kematian, dan apakah kerana yang jadi mangsa itu Orang Asli maka cukup sekadar ditangani oleh Menteri dari Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional sahaja, sedangkan ia melibatkan pencemaran yang mengancam kesihatan rakyat persekitarannya.

7. Alasan terkawal dan tidak merebak adalah hujah dangkal yang dilontarkan bagi menutup kelemahan kerajaan dalam memantau isu pencemaran yang dilihat semakin kritikal, janganlah sampai 50 orang sudah mati baru dikatakan ia merbahaya. Sepatutnya kerajaan lebih peka akan perkara pencemaran ini, mencegah lebih baik daripada menanganinya.

8. Justeru, MUAFAKAT selaku NGO Islam mendesak baik kerajaan pusat, dan juga kerajaan negeri khususnya Kerajaan Negeri Kelantan agar memandang serius akan perkara ini. Semua pihak yang terlibat harus bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing bagi mengatasinya secepat mungkin, tanpa mempedulikan perbezaan politik dan kaum.

9. MUAFAKAT melihat tragedi ini sebagai isu nasional yang mesti ditangani dengan segera. Dan kerajaan juga harus bertindak tegas terhadap mana-mana kumpulan, syarikat dan kilang yang terbabit yang menjadi punca kepada pencemaran ini. Ini termasuk mereka yang meluluskan lesen dan mengabaikan aspek prosedur dan piawaian keselamatan pengilangan juga harus dikenakan tindakan setegas-tegasnya.

Integriti itu bukan hanya pada kewangan tetapi termasuk juga tanggungjawab menjaga kesihatan rakyat dan alam sekitar.H

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts