PENDIDIKAN MENGENAI GANGGUAN SEKSUAL DAN BUKANNYA PENDIDIKAN SEKS

437
SHARES
2.6k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)

1. PERKASA merujuk kepada laporan Sinar Online bertajuk “KPWKM Lancar Video Pendidikan Seks Untuk Kanak-Kanak” bertarikh 26 Jun 2019 mengenai langkah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan video pendidikan seks untuk kanak-kanak di saluran digital Youtube sebagai usaha terbaharu kerajaan mengurangkan jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia (https://www.sinarharian.com.my/article/34126/KHAS/Isu/KPWKM-lancar-video-pendidikan-seks-untuk-kanak-kanak).

2. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YAB. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata pendekatan kreatif untuk menyampai dan menyebar luas video pendidikan seks itu menyasarkan tontonan sebanyak 150,000 oleh kanak-kanak berusia tiga hingga ke empat tahun sehingga hujung tahun ini.

3. PERKASA mengalu-alukan langkah baik kerajaan ini dengan kerjasama NGO Malaysian Against Pornography dan Google. Akan tetapi PERKASA merasakan inisiatif ini mempunyai kejanggalan dan kepincangan. Apa tidaknya, 5 video pendek (iklan pendek) dalam bentuk watak kartun yang dimasukkan dalam Youtube ini sebenarnya menonjolkan elemen gangguan seksual (sexual harassment) dan bukannya pendidikan seks (sex education). Gangguan seksual (sexual harassment) dan pendidikan seks (sex education) adalah dua perkara yang berbeza. Apa yang dipaparkan dan tema utama ke semua video klip itu ialah bentuk bentuk gangguan seksual (sexual harassment).

4. PERKASA telah meneliti video klip pertama bertajuk “Video Kesedaran Pendidikan Seks” berdurasi 1 minit 25 saat yang diterbitkan pada 25 Jun 2019 (https://www.youtube.com/watch?v=kIeAAejltVY) .

Video ini mengisahkan Uncle Jay membawa kanak kanak bernama Mei Ling menaiki keretanya ke tempat sunyi dan mengambil gambarnya tidak berpakaian secara senyap. Apabila diadukan kepada bapanya, bapa Mei Ling telah melaporkan kepada polis dan Uncle Jay telah ditangkap. Di bawah segmen YouTube tersebut tercatat perkataan “Video Kesedaran Pendidikan Seks di Kalangan Kanak-Kanak. Pastikan anak-anak kita mengetahui tindakan yang perlu mereka lakukan sekiranya terdapat gangguan seks terhadap mereka. #PendidikanSeks #ingatjeritlariberitahu #JabatanPembangunanWanita #JPW”. Ini jelas menunjukkan video ini menerangkan hakikat gangguan seksual dan bukannya pendidikan seks.

5. PERKASA juga telah meneliti video klip kedua bertajuk “Video Pendidikan Seks Yang Pertama” berdurasi 1 minit 10 saat yang diterbitkan pada 25 Jun 2019 (https://www.youtube.com/watch?v=xx5VhnzyDw8).

Watak kartun utama ialah utama ialah Mei Ling, Lily dan Nur. Terdapat seserang lelaki yang tidak dikenali menunjukkan kemaluannya kepada mereka. Apabila diadukan kepada ibu Lily, ibu Lily telah menelefon polis dan orang itu telah tertangkap. Terdapat juga ungkapan yang di-highlight-kan “Ingat! Jika ada sesiapa menunjukkan kemaluan kepada adik-adik: Jerit, Lari, Beritahu”. Klip video ini juga jelas menerangkan hakikat gangguan seksual dan bukannya pendidikan seks.

6. PERKASA juga telah meneliti video klip ketiga yang bertajuk “Video Pendidikan Seks” berdurasi 1 minit 1 saat (https://www.youtube.com/watch?v=hm_QXW2LoW4).

Klip video ini mengisahkan tentang Abang Bob yang merupakan tutor peribadi kepada Lily. Abang Bob telah mengambil kesempatan dan meraba Lily. Lalu Lily menjerit, lantas memberitahu ayahnya dan kemudiannya dilapor kepada polis. Abang Bob kemudiannya ditangkap. Terdapat juga satu caption dalam klip video ini yang berbunyi “Ingat! Jika ada sesiapa yang menyentuh atau meraba mana-mana bahagian, Jerit, Lari, Beritahu”.

7. Bahawa sesungguhnya PERKASA ingin menegaskan bahawa klip-klip video ini menerangkan tindakan yang perlu anak-anak kita lakukan sekiranya terdapat gangguan seksual terhadap mereka. Di manakah nilai pendidikan seksnya? Berapa banyakkah kes-kes gangguan seksual dalam kalangan kanak-kanak hinggakan klip-klip video ini dipromosikan sebegitu rupa? Siapakah di belakang Nice TV Official yang terlibat dalam pembikinan klip-klip video ini?

8. PERKASA ingin bertanya, apakah justifikasi penerbitan klip-klip video ini yang menfokuskan kepada kelompok kanak-kanak?

Sedangkan data KPWKM menunjukkan 9% pelajar kelas peralihan terbabit dalam hubungan seks bebas dalam negara ini. Masalah utama gejala sosial berpunca daripada kejahilan dan kurangnya didikan agama. Yang lebih mengejutkan ialah kajian KPWKM menunjukkan 7.3% pelajar berumur 13-17 tahun mempunyai pengalaman seks. Golongan sasaran pendidikan seks sepatutnya difokuskan kepada kelompok-kelompok ini dan bukannya kanak kanak.

9. PERKASA menggesa agar diperkasakan peranan kaunselor di sekolah dan para intelektual serta agamawan. Peranan guru sekolah dalam konteks pendidikan seks (cara Islami), pendidikan kesihatan, reproduksi dan sosial juga perlu diperkukuhkan. Masalah para guru yang tidak bersedia dan kurang latihan perlu diatasi segera. Para ibu bapa pula perlu lebih peka dan prihatin terhadap pendidikan anak-anak dalam penggunaan internet, komputer dan telefon bimbit. Perlu ada pemantauan yang lebih tegas terhadap penggunaan internet, komputer dan telefon bimbit.

Dr. Amini Amir Abdullah

Naib Presiden PERKASA merangkap

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (BIHALIM) dan

Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts