UMNO USAH RISAU ZAHID KEMBALI SEBAGAI PRESIDEN, FOKUS PADA KERJASAMA PAS-UMNO DAN PENYATUAN UMMAH

106
SHARES
341
VIEWS

Spekulasi sebelum ini mengenai cadangan yang dilihat bakal mengenepikan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikemukakan oleh bekas Menteri Besar yang kalah di kedua-dua Parlimen dan DUN yang ditandinginya, nampaknya bukan dibuat-buat.

Pihak yang terlibat menyokong dan menentang ‘gerakan’ tersebut, memberikan justifikasi bagi menegakkan hujah masing-masing.

Di sebalik agenda tersebut yang kuat ditentang oleh Datuk Lokman Noor Adam, segelintir pemimpin UMNO sendiri dilihat mengecam tindakan Lokman.

Tentangan Lokman berasas kerana Najib dan Zahid belum dibuktikan bersalah, malah kelihatan Peguam Negara dan pasukannya terkial-kial untuk menyabitkan mereka dengan sebarang salah laku apabila hanya mampu mengemukakan saksi-saksi yang tidak mampu membantu mereka dan malahan memberi mileage buat Najib.

Manakala ‘perjuangan’ pihak yang ingin mengenepikan Najib dan Zahid dalam persidangan UMNO kelak kelihatan melodramatik dan berlebihan.

Rakyat melihat ia lebih kepada sikap beberapa pemimpin yang menangguk di air keruh dan oportunis.

Tidak perlu ketepikan mereka yang sudah sedia jatuh tetapi belajarlah untuk memupuk sikap setiakawan.

UMNO hanya perlu fokus kepada kerjasama UMNO-PAS dan penyatuan ummah seluruhnya demi untuk membebaskan negara dari Pakatan Harapan yang gagal dalam segenap perkara, namun amat handal  dalam 5 perkara iaitu beralasan, melakukan penjenamaan semula, u-turn, menyalahkan kerajaan terdahulu serta membalas dendam melalui pendakwaan terpilih.

UMNO tidak perlu sibuk-sibuk untuk mencorakkan politik negara dengan memilih kem Mahathir ataupun kem Najib-Zahid, kononnya demi untuk mengekang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dengan alasan beliau akan bersekongkol dengan DAP.

UMNO hanya perlu fokus mendekati anak muda yang semakin tidak selesa dengan kerajaan Pakatan Harapan, sesuatu yang gagal dilakukan oleh Ketua Pemuda UMNO sebelum ini iaitu Khairy Jamaluddin  dan Ketua Pemuda baru iaitu Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki jangan ulangi kesilapan KJ yang terlalu ingin menonjol ketika menjadi Menteri sehingga melupakan anak muda.

Jalankan gerak kerja dari sekarang mendekati anak muda, daftarkan dan sediakan mereka untuk pilihan raya umum ke-15 kelak dan bukannya duduk selesa mengharapkan segalanya akan berjalan dengan sendirinya.

Jangan hirau tarikh bilakah PRU-15 akan diadakan, tidak kira hujung tahun ini ataupun 4 tahun lagi.

Ambil kesempatan atas kelemahan Pakatan Harapan ketika ini dengan melengkapkan persediaan menghadapi PRU-15, tidak kira bilapun waktunya.

Amalkan sikap berlebih kurang, tunaikan hak dan jangan berlebihan dalam keterujaan ingin berkuasa kembali melalui jalan belakang.

Selain itu, jangan jadikan kekangan kewangan sebagai alasan untuk menjalankan aktiviti dan segelintir pemimpin UMNO pula jangan membuang masa mencatur politik negara yang semakin terumbang-ambing di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Kelak mereka akan kecewa apabila akhirnya menjadi mangsa sesetengah pihak yang hanya mempergunakan mereka.

Abaikan kem Mahathir yang menjalankan propaganda dan mitos berterusan tanpa henti kononnya apabila Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri maka DAP akan berkuasa.

Ini sebenarnya salah satu strategi utama oleh kem Mahathir untuk menakut-nakutkan UMNO dan rakyat dengan ‘memomokkan’ kisah kononnya negara akan menjadi lebih teruk di bawah Anwar.

Hakikatnya Mahathir dan Bersatu yang amat takut apabila Anwar menjadi Perdana Menteri kerana mereka takut akan dipinggirkan maka mereka mencipta persepsi lebih awal – kepakaran mereka sejak dahulu.

Propaganda ini dibuat semata-mata kerana ada satu pihak ingin kekal berkuasa dan ada satu pihak lagi menuntut kuasa yang dijanjikan.

Sedangkan negara menjadi semakin teruk, rasuah berterusan dan amalan kronisme diutamakan sejak zaman Perdana Menteri keempat, yang kini berkhidmat sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Jika tidak, bagaimana mungkin kita boleh melihat anaknya masih mendapat tender dan projek kerajaan, rakannya pemilik The Loaf mendapat projek membangunkan Bandar Malaysia serta Vincent Tan mengikuti beliau ke mana-mana sahaja apabila keluar negara.

UMNO perlu berusaha keluarkan diri dari percaturan politik kotor dan manipulasi mereka ini serta kekal bersama kekuatan dan momentum perjuangan agama dan bangsa bersama PAS.

Ini yang sepatutnya menjadi fokus UMNO ketika ini tanpa mengira siapapun yang memimpin.

UMNO juga perlu lupakan kononnya tanpa Mahathir maka Anwar dan DAP akan berkuasa, bangsa Melayu dan Islam akan ditindas, kerana keadaan itu sudahpun berlaku ketika ini tanpa mampu ditegur dan dihalang oleh Mahathir sendiri.

Kita sudah boleh lihat dan menilai bagaimana berkuasanya DAP dengan berada di setiap kementerian strategik walaupun hanya sebagai Timbalan Menteri, di mana semua mereka ini dilantik oleh Mahathir dan bukannya Anwar.

Kita boleh lihat di sebalik Mat Sabu adanya Liew Chin Tong dan di sebalik Dr. Maszlee Malik adanya Teo Nie Ching.

Apatah lagi dengan adanya Lim Guan Eng di Kementerian Kewangan yang berterusan bekerja siang dan malam untuk menguntungkan DAP.

Jika ditakdirkan Allah Taala, Anwar menjadi Perdana Menteri dan beliau membelakangkan Melayu dan Islam secara tidak Berperlembagaan maka beliau dan Pakatan Harapan pasti akan kalah pada PRU-15, tidak kira bilapun waktunya.

Sebelum berlaku, usahlah ada mana-mana pihak memikirkan pelbagai kemungkinan yang menghilangkan fokus asal yang sepatutnya dilakukan.

Oleh kerana itu parti dan pemimpin-pemimpin UMNO tumpukan fokus kepada kerjasama UMNO dan PAS  serta bersama dengan parti dan NGO Islam lain bagi menyatupadukan ummah seluruh negara.

Jika perkara ini dilakukan secara konsisten, nescaya dengan izin Allah kerajaan pimpinan Melayu Islam akan kembali berkuasa di negara ini dan kaum-kaum lain akan terpelihara sama seperti sebelum ini.

Justeru, kesimpulannya UMNO jangan membuang masa dengan propaganda Pakatan Harapan dan segelintir pemimpin UMNO yang terjebak dengan permainan mereka.

Tidak perlu mempertikai sama ada Zahid mampu memberikan persembahan yang baik ataupun akan menyebabkan UMNO berpecah menjadi dua, ini semua mainan propaganda mereka yang takut kehilangan kuasa.

Pakatan Harapan sudah cukup gerun dengan kerjasama UMNO dan PAS dan gunakan kesempatan ini untuk membina kekuatan bersama.

UMNO sendiri kena yakin dengan asas perjuangan mereka iaitu bagi memartabatkan agama, bangsa  dan tanahair, seperti mana rakyat di luar sana meyakini mereka boleh terus maju tanpa Mahathir yang selama ini memporak-perandakan negara.

Kali ini perjuangan UMNO diteruskan bersama PAS.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts