MELAYU HARUS BERSATU DI BAWAH MUAFAKAT NASIONAL

503
SHARES
2.4k
VIEWS

1. Kenyataan Tun Dr. Mahathir kelmarin, 5 Julai, di majlis terbuka Aidilfitri BERSATU di Johor Bahru, yang menyeru supaya orang Melayu bersatu; “Kalau kita berpecah kita akan jadi lemah kerana kalau bercerai roboh, bersatu teguh”, kenyataan ini sebenarnya lahir dari perasaan bimbang atau kekecewaan beliau terhadap kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak berupaya menyelamatkan umat Islam dan negara daripada menuju kepada kemusnahan.

2. Kenyataan Tun ini keluar setelah hampir setahun lebih beliau bersama kerajaan PH, dan tentulah dari pengamalan luasnya dalam dunia politik tanah air beliau boleh menilai dan melihat kesan, akibat dan bukti yang jelas bahawa kerajaan baru hari ini iaitu kerajaan PAKATAN HARAPAN adalah kerajaan yang GAGAL!

3. Kerajaan boneka DAP ini gagal mendaulatkan Islam, gagal mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, gagal menjaga institusi Raja-raja Melayu, gagal menyelamatkan bahasa Melayu iaitu Bahasa Kebangsaan, gagal menjaga ekonomi negara dan juga gagal menyelesaikan masalah sosial yang kini semakin parah.

4. Sama ada Tun tersasul atau memang menghidu akan perkembangan buruk ini, ternyata Tun tidak mahu pengakhirannya selaku Perdana Menteri tertua dicatat dalam sejarah sebagai PM yang menghancurkan dan merosakkan negara ini. Dan keadaan ini memang sedang berlaku hari ini.

5. MUAFAKAT menyambut baik saranan Tun, Melayu harus bersatu malah inilah yang diusahakan sekian lama oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, sejak hampir 20 tahun dahulu, apabila munculnya ancaman besar terhadap umat Islam iaitu fahaman sesat Liberalisme Pluralisme yang dibawa masuk oleh seorang tokoh Melayu untuk meliberalkan masyarakat Islam di Malaysia. Fahaman sesat ini terang-terangan bercanggah dengan epistimologi Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah.

6. Mengenai konsep “bersatu” atau penyatuan orang Melayu, MUAFAKAT menggesa ia harus mengikut modul yang telah disepakati dalam piagam MUAFAKAT NASIONAL. Oleh itu, sayugianya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) duduk bersama di bawah Muafakat Nasional. Pendekatan ini lebih berkesan daripada semua orang Melayu masuk parti Bersatu kerana ianya akan didominasi oleh satu parti sahaja. Lagi pula, BERSATU adalah serpihan UMNO dan bukankah lebih baik jika BERSATU kembali kepada UMNO dan jadi ahli biasa daripada berpecah-belah.

7. Walau apapun tindakan atau kemungkinan drama yang akan diorkestrakan oleh Tun, MUAFAKAT konsisten dari dahulu lagi mengatakan bahawa MELAYU MESTI BERSATU, iaitu di bawah satu panji-panji yang meletakkan Islam sebagai dasar dan perjuangan mempertahankan hak orang Melayu sebagai matlamat khususnya mempertahankan institusi Raja-raja Melayu, kerana mereka adalah Ketua Agama Islam dan yang menandatangani Perlembagaan Persekutuan.

8. Jika benar Tun ikhlas mahu melihat orang Melayu bangkit menjadi kuat dan menguasai sepenuhnya politik dan negara tercinta ini, Tun patut umum keluar dari Pakatan Harapan yang kini sudah tiada harapan, dan bergabung di bawah MUAFAKAT NASIONAL bersama-sama UMNO dan PAS.

Bukannya MUAFAKAT NASIONAL duduk di bawah Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang kelihatannya mati segan hidup tak mahu di dalam gabungan Pakatan Harapan.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts