JANGAN CELUPAR DALAM MENYINDIR – MUAFAKAT

636
SHARES
2.7k
VIEWS

Saya tidak pasti sama ada YB dari Melaka ada mengikuti pengajian kitab-kitab turuth agama, atau beliau memang jahil dalam bab fiqah, atau sebenarnya beliau tahu tetapi niat sindiran, atau memang beliau bersungguh dengan maksud sedemikian.

Namun, walau apa sekalipun alasannya, kenyataan beliau yang seperti itu boleh mencacatkan keimanan beliau, tambah lagi ianya suatu yang amat dekat dengan Allah ﷻ iaitu mengenai masjid atau Baitullah (Rumah Allah).

Dan jika kita hendak bersangka baik sekalipun dengan menganggap kenyataan beliau itu sebagai suatu bahan jenaka, dalam keadaan itupun YB masih berada dalam keadaan iman yang membahayakan, dan masih boleh menyebabkan beliau tergelincir ke gaung kefasikan, atau setidak-tidaknya beliau tetap berdosa besar kerana mempersenda-senda hal yang berkaitan dengan agama.

Tularan akan kenyataan kontroversi beliau itu ialah: “Lepas ini saya akan buat isu panas lagi, selepas ini kita roboh masjid pulak?” – YB Sopi Wahab dari parti PAN

Dalam Al-Quran telah jelas larangan bergurau-senda melampau tambah lagi yang menyentuh sensitiviti agama:

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan (gurau senda), dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab siksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).”

(Surah Al-An’aam: ayat.70)

Dan dalil hadis Nabi pula ada menyebut:

“Abdul ibn Huma’id mengkhabarkan kepada kami, Husain ibn Ali al-Ju’fi menceritakan kepada kami, Hamzah az-Zayyat menceritakan kepada kami dari Abu Mukhtar at-Thaa’ie dari Ibnu Akhil Harits al-A’war dari Harits al-A’war, ia berkata; “Saya lalu di masjid, saya terlihat orang ramai sedang berolok-olok di dalam percakapan, saya masuk pada (rumah) Ali, maka saya bertanya: “Hai Amirul Mukminin, apakah kamu melihat orang ramai berolok-olok di dalam percakapan mereka?” Ali berkata: “Apakah mereka telah melakukannya?”. Saya jawab: “Iya”. Ali berkata: “Saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Ingat, sesungguhnya itu akan menyebabkan berlakunya fitnah”

Lalu saya bertanya: “Bagaimana jalan keluarnya daripadanya wahai Rasulullah?”. Rasulullah ﷺ bersabda: “Iaitu kamu (berpegang) kepada Kitab Allah yang telah menceritakan orang ramai sebelum kamu dan berita orang-orang sesudah kamu, dan sebagai penghukum apa yang terjadi antara sesama kamu. Kitab Allah adalah firman yang memisahkan antara yang hak dan yang batil dan ia adalah bukan sebagai senda gurau, orang yang meninggalkan kitab Allah adalah dari orang yang sombong, Allah akan membinasakannya, orang yang mencari petunjuk dari selain kitab Allah, maka Allah akan menyesatkannya, kitab Allah adalah buhul (hukum) Allah yang kuat, ia adalah yang penuh hikmah, ia adalah jalan yang lurus, ia adalah yang tidak condong pada hawa nafsu, ia tidak berat pada setiap lisan, para ulama’ tidak akan kenyang padanya, ia tidak usang dari banyaknya diulang-ulang (bacaannya), tidak akan habis-habis keajaibannya, ia adalah yang tidak henti hentinya jin tatkala mendengarnya, mereka berkata: (Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al-Qur’an yang menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya).

Barang siapa berkata dengan Al-Qur’an, maka benarlah ia, dan barang siapa mengamalkannya, ia diberi pahala, orang yang memutuskan hukum dengannya maka ia adil dan barang siapa mengajak-ajak kepada AI-Quran, ia mendapat petunjuk pada jalan yang lurus”. Ambillah (kata-kata yang baik) wahai A’war”.

Hadis ini gharib, saya tidak mengetahui hadis ini kecuali dari Hamzah az-Zayyat dan sanadnya majhul di dalam hadisnya Harits ada pembicaraan. (Hadith Sunan at-Tirmidzi Jilid 4. no.3070)

Kesimpulannya; Atas alasan apa sekalipun, bersenda gurau dengan Rumah Allah ﷻ dengan niat menyindir seseorang tetap ada kesalahannya atau setidak-tidaknya BERDOSA.

Justeru, sebagai public figure, YB sepatutnya lebih berhati-hati apabila berbicara khususnya dalam bab agama.

Wallahu a’lam.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts