KENYATAAN MEDIA PUTRA MENGENAI ISU PEROBOHAN STRUKTUR BUKU DI BANGUNAN DBP

405
SHARES
2.4k
VIEWS

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

1. Dewan Bahasa Dan Pustaka Pada 8 Ogos 2019 telah mengeluarkan kenyataan bahawa Kerja Perobohan Struktur ‘Buku’ Pada Bangunan DBP Tetap Akan Dirobohkan Atas Faktor Keselamatan Dan Disyorkan Oleh Pakar-Pakar Dari JKR.

2. Berdasarkan kenyataan tersebut, PUTRA dengan Ini mengambil pendirian awal bahawa keputusan merobohkan struktur “buku” berkenaan merupakan satu keputusan yang melibatkan sensitiviti umum khususnya orang Melayu dan keputusan untuk merobohkannya secara tiba-tiba di waktu suasana politik negara tidak menentu, boleh mengundang pelbagai persepsi buruk.

3. Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) adalah agensi yang ditubuhkan khusus untuk menjaga Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di bawah Perkara 152 Perlembagaan. Jadi tidak hairanlah bahawa atas kaitan ini menjadikan PUTRA turut tersentak dengan keputusan yang dilihat secara tiba-tiba untuk meruntuhkan struktur ibarat tanjak kepada maruah orang Melayu pada bangunan berkenaan.

4. PUTRA faham dan juga tidak akan berkompromi dengan faktor keselamatan kalau ia benar tetapi PUTRA juga sangsi mengapa hanya pada hari ini struktur buku berkenaan tiba-tiba dikatakan sebagai tidak selamat?

5. PUTRA pasti segala komponen termasuk buku berkenaan yang menjadi sebahagian bumbung bangunan berkenaan telah direkabentuk oleh jurutera struktur profesional berdasarkan piawaian yang dibenarkan, juga dibina berdasarkan spesifikasi yang betul sebelum diterimapakai oleh DBP pada peringkat permulaan pembinaannya dahulu.

6. PUTRA juga pasti bahawa pembangunan keseluruhan bangunan berkenaan telah mendapat kelulusan dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di peringkat pelan bangunan, pelan kejuruteraan sehinggalah Sijil Layak Menduduki (Certificate of Fitness) dikeluarkan oleh pihak DBKL sendiri.

7. PUTRA juga yakin rekabentuk buku tersebut adalah sekali dengan rekabentuk keseluruhan bangunan DBP berkenaan dan bukan komponen asing yang diangkat letak di atas bangunan tersebut, di mana logiknya apabila JKR sahkan buku tersebut sebagai tidak selamat seolah-olah keseluruhan bangunan tersebut juga mungkin tidak selamat.

8. PUTRA juga yakin struktur asas ‘buku’ tersebut diperbuat daripada besi yang semestinya kukuh sama seperti bangunan-bangunan kerajaan tetapi PUTRA sangsi kenapa hanya bumbung bangunan DBP perlu dirobohkan tetapi bangunan-bangunan kerajaan yang lain yang lagi daif hanya dibuat penyelenggaraan?

9. PUTRA seterusnya menggesa agar pihak pakar JKR yang mengesahkan komponen-komponen buku yang merupakan sebahagian komponen bumbung bangunan DBP menyiarkan kepada umum laporan di mana-mana platform yang boleh dicapai oleh pihak ketiga berkenaan laporan kekuatan struktur (dilapidation report), gambar-gambar dan segala dokumen yang menyebabkan JKR mengambil keputusan mengesyorkan peruntuhan struktur buku berkenaan untuk PUTRA dan pihak-pihak lain mendapat pandangan kedua daripada pakar jurutera yang bertauliah dan bebas.

10. PUTRA juga memohon untuk disiarkan secara rasmi oleh JKR bagaimana rupa bentuk bangunan DBP berkenaan selepas modifikasi buku yang dicadangkan. Elemen berkenaan sensitif kepada rakyat terutamanya kepada orang Melayu dan sewajarnya perobohan struktur buku berkenaan harus diganti dengan struktur buku yang baru dan yang lebih moden dan menarik.

11. JKR sebagai jabatan teknikal yang bertanggungjawab atas keputusan perobohan ini wajar tampil memberikan penerangan terperinci berkaitan kesan-kesan perobohan, penggunaan bangunan semasa perobohan, kos perubahan berbanding kos pembaikan, implikasi insurans bangunan, tahap gangguan kekuatan struktur akibat aktiviti perobohan di aras bumbung dan sebagainya.

Sekian terima kasih.

PUTRA PERKASA NEGARA

#RasisBerpelembagaan

Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts