Agak menghairankan apabila akaun UMNO dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pembekuan adalah kerana ingin mengetahui dari mana datangnya ratusan juta ringgit dana UMNO, sekiranya daripada 1MDB maka ia perlu dipulangkan semula.
Pertama, sewajarnya SPRM menyiasat dan mencari bukti kaitan 1MDB dengan UMNO terlebih dahulu kemudian jika terbukti ada maka barulah minta dipulangkan mengikut jumlah yang diberikan. Jika UMNO enggan maka baru dilaksanakan pembekuan akaun UMNO.
Malah tindakan lebih drastik juga boleh dilakukan iaitu dengan merampas aset UMNO sekiranya tidak mencukupi untuk menggantikan jumlah yang diberikan oleh 1MDB tersebut.
Namun semuanya wajar dilakukan secara rundingan dengan UMNO bukan dengan bertindak bekukan dan siasat seperti UMNO adalah pengganas yang dikehendaki oleh dunia, apatah lagi dengan menggunakan AMLA yang sememangnya tidak wajar dilakukan kerana UMNO adalah parti politik.
“Kita di UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi sasaran seolah-olah pelaksanaan tindakan undang-undang sedangkan undang-undang yang digunakan (AMLA) tidak dirangka untuk parti politik,” seperti yang diulas sebelum ini oleh Tan Sri Shahir Samad kepada Bernama.
Kedua, sekiranya kerajaan ingin mendapatkan kembali dana daripada 1MDB yang mengalir keluar, sewajarnya aliran keluar melalui akaun 1MDB yang disiasat, bukannya menyiasat akaun yang diandaikan duit tersebut dimasukkan. Ini bukan tindakan cerdik apabila SPRM perlu menyiasat lebih 900 akaun UMNO berbanding hanya 1 akaun 1MDB yang sepatutnya disiasat.
Atau bak kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, “Kita nak tahu duit yang dapat kepada UMNO beratus juta itu datangnya dari mana, kalau ia datang dari 1MDB maka dia (UMNO) perlu bagi balik,” seolah-olah ingin mengetahui siapa pemberi dana UMNO seluruhnya, maka 1MDB dikambing hitamkan.
Jika ini alasannya maka patutlah dengan menggunakan AMLA, SPRM membekukan semua akaun UMNO untuk menyiasat sumber dana UMNO.