Semalam saya telah dimaklumkan bahawa seorang EXCO dari parti Bersatu telah membuat kenyataan terbuka bersifat fitnah dan tohmahan terhadap saya dalam artikel yang ditulisnya.
Antara perenggan-perenggan dalam artikelnya berbunyi seperti berikut:
“Ini sebenarnya paku kepada orang politik terutama seperti bos Isham. Dapat projek jual projek. Dapat AP kereta tidak jual kereta. Tapi jual AP.”
“Sudah pasti Isham lebih kaya dengan 1MDB dan projek yang diperolehi daripada DS Najib.”
“Isham Jalil pegawai khas kanan Dato Seri Najib Razak. Yang juga mengurus media Najib Razak. Najib kaya-raya. Penasihat dilaporkan gaji dalam lingkungan RM70k – RM200k sebulan.”
“Zaman Najib yang kaya siapa? Nama Jho Low sahaja disebut. Apa istimewa sangat Cina ini? Isham lebih mengetahui.”
Dan beberapa lagi kenyataan yang tidak benar dan berunsur fitnah.
Sepanjang saya berkhidmat selama hampir 20 tahun dalam kerajaan dan syarikat berkenaan kerajaan, saya tidak pernah dapat apa-apa AP dan kontrak kerajaan, atau mendapat projek atau kontrak dari Dato’ Seri Najib, dan saya juga tidak terlibat dengan urusan 1MDB jauh sekali menjadi kaya olehnya seperti yang ditohmah oleh EXCO Bersatu ini.
Sesiapa yang kenal saya lama atau pernah bekerja bersama saya akan tahu bahawa sejak saya memulakan karier saya dalam kerajaan dan syarikat berkenaan kerajaan 20 tahun lalu sehingga kini, saya tidak pernah terlibat dalam rasuah.
Walaupun saya selalu ditemuramah oleh media, tugas saya tidak ada kena mengena dengan media.
Dan saya bukanlah pegawai media Dato’ Seri Najib, semasa dalam kerajaan mahupun sekarang.
Jawatan terakhir saya dalam kerajaan adalah Pengarah gred JUSA B di Pejabat Perdana Menteri, dan sesiapa yang pernah bekerja dalam kerajaan tahu yang gaji JUSA B tidaklah sampai RM70 ribu.
Seperkara lagi, walaupun Jho Low adalah graduan Wharton sama seperti saya, saya tidak pernah kenal, berjumpa atau berhubung dengan Jho Low.
Oleh itu, untuk mengaitkan saya dengan Jho Low seperti disebut oleh EXCO Bersatu tersebut ternyata adalah suatu tohmahan fitnah yang berniat jahat.
Dalam politik, perbezaan pendapat adalah perkara biasa.
Namun fitnah tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, sebab jika kita biarkan ia akan membuat politik di Malaysia menjadi semakin kotor lantas memberikan kesan buruk kepada demokrasi.
Antara sebab PH menang pilihan raya yang lepas adalah kerana tipu daya dan fitnah.
Jika kita biarkan perkara ini berleluasa, maka orang yang kuat menipu dan memfitnah akan diangkat menjadi kerajaan dan pemimpin negara.
Ini tidak boleh diterima.
Oleh yang demikian, saya telah dinasihatkan oleh rakan-rakan saya supaya mengambil tindakan ke atas pemfitnah di atas.
Saya telah dimaklumkan bahawa EXCO Bersatu tersebut kini berada di luar negeri.
Oleh itu saya telah menyerahkan hal ini kepada peguam saya untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap EXCO Bersatu ini.
Sekian.
Isham Jalil
10 September 2019