DUA SEBAB PH HAPUSKAN GST (DAN SATU SEBAB DAP TIDAK AKAN PERKENALKANNYA SEMULA)

230
SHARES
741
VIEWS

Kerajaan PH sudah lama tahu bahawa GST adalah lebih baik daripada SST.

Dan mereka juga tahu bahawa apabila mereka hapuskan GST dan memperkenalkan SST tahun lepas maka akan ada kelompongan bajet berbillion ringgit kerana ketirisan kutipan hasil daripada sistem cukai SST yang tidak cekap.

Namun mereka degil dan buat juga dan hapuskan GST.

Ini adalah kerana dua sebab:

PERTAMA, pada awal tahun lepas ramai penganalisa-penganalisa ekonomi berpendapat bahawa harga minyak mentah dunia akan naik setinggi USD100 dollar Amerika setong.

Jika ini berlaku maka kerajaan akan mendapat hasil yang tinggi dari export minyak mentah negara.

Oleh itu mereka (PH) fikir kehilangan pendapatan daripada ketirisan SST tidak akan terasa dan boleh ditutup dengan peningkatan hasil jualan minyak.

Dan mereka (PH) telah membuat Bajet 2019 yang lepas berdasarkan pertimbangan ini dan tanggapan bahawa hasil daripada harga minyak akan diperoleh pada harga yang tinggi iaitu USD72 setong.

Dalam Dewan Rakyat dan di luar dewan, mereka (PH) dengan megah mengatakan bahawa Bajet 2019 adalah Bajet perbelanjaan yang terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM325 billion.

Saya telah tidak bersetuju dengan hal ini dan berpendapat bahawa apa yang mereka buat tersebut adalah tindakan yang tidak bijak.

Sebab berdasarkan pengalaman saya di Unit Perancang Ekonomi dahulu dan pengalaman saya menganalisa pasaran kewangan termasuk komoditi minyak di luar negeri, tidak ada sesiapa yang boleh mengagak dengan tepat berkenaan turun naik harga minyak dunia kerana ia dipengaruhi pelbagai faktor.

Oleh itu, keputusan kerajaan PH tersebut tidak lain seperti bermain judi dengan kewangan negara dan kebajikan rakyat.

Beberapa bulan selepas Bajet 2019, harga minyak dunia telah turun ke paras USD50 setong.

Tiba-tiba mereka ada kelompongan bajet sebanyak RM22 billion. Kerajaan PH telah panik.

Dan tiba-tiba selepas itu mereka bertindak mahu memotong itu dan ini sehingga saiz penjawat awam dipersoalkan kerana kononnya menjadi beban kepada kerajaan.

Dan banyak bantuan-bantuan kepada rakyat juga dipotong.

Dan sebab itu juga saya pernah berkata kepada sahabat-sahabat saya dalam kerajaan Terengganu dan Sarawak bahawa Kerajaan Persekutuan PH tidak akan membayar royalti minyak 20% kepada kerajaan negeri dan hanya akan berdolak-dalik berkenaannya kerana harga minyak telah turun dan mereka (PH) kini mempunyai masalah kewangan dan kelompongan bajet yang besar.

Dan aset-aset negara yang dibina berpuluh tahun telah sekelip mata dilelong dan dividen-dividen institusi-institusi pelaburan kerajaan yang sebelum ini memberi pulangan yang baik iaitu setinggi 12-15% tiba-tiba jatuh ke paras serendah 1-2%.

Salah siapakah ini? Adakah ia salah rakyat? Atau salah BN dan 1MDB lagi? Atau mereka (PH) yang tidak tahu mentadbir ekonomi?

Bulan lepas Perdana Menteri Dr. Mahathir berkata harga minyak akan naik sebab pengeluaran minyak dunia akan turun akibat serangan pemberontak Houthi Yaman ke atas telaga-telaga minyak Arab Saudi.

Namun harga minyak tidak naik malah tetap rendah sehingga hari ini di paras sekitar USD50 setong.

Mahathir dan Lim Guan Eng sepatutnya mengaku bahawa mereka tidak tahu dan mengagak-agak sahaja.

Dahulu saya pernah menulis bahawa harga minyak dunia tidak lagi hanya ditentukan oleh pengeluaran dan permintaan minyak dunia seperti tahun 70an ke 90an dahulu dan tidak “straightforward” seperti dalam buku-buku teks ekonomi, tetapi ia dipengaruhi besar oleh pasaran kewangan.

Mungkin Mahathir dan Lim Guan Eng tidak sempat menelaah perkara ini atau tidak mengikuti perkembangan ekonomi semasa.

Hakikatnya mereka (PH) telah berjudi dengan kewangan negara dan telah rugi.

Dan rakyat yang menanggung sengsara.

…….

KEDUA, apabila Kerajaan PH memperkenalkan semula SST dan menghapuskan GST tahun lalu, banyak tauke-tauke perniagaan yang tiba-tiba boleh lari semula daripada membayar cukai.

Tauke-tauke ini sememangnya tidak mahu bayar cukai GST dan telah berkempen bersama-sama DAP pada pilihan raya umum ke-14 yang lepas untuk menghapuskan GST.

Sebab itu tauke-tauke ini suka DAP.

Tauke-tauke ini tidak suka GST sebab sistem cukai berperingkat GST yang telus akan menunjukkan struktur kos sebenar mereka dan hasil keuntungan sebenar yang mereka dapat dan sama ada mereka mengambil kesempatan menaikkan harga kepada pengguna.

Dan dengan GST mereka tidak boleh lari dari cukai sebab jika mereka cuba lari dari cukai atau cuba menyorokkan kos sebenar maka mereka tidak boleh claim rebat daripada kerajaan.

Ini juga menyukarkan mereka untuk beroperasi di dalam “ekonomi gelap” iaitu kegiatan ekonomi di mana mereka tidak perlu isytihar pendapatan dan keuntungan dan di mana terdapat kegiatan penggubahan wang haram yang berleluasa.

Ekonomi gelap ini adalah besar dan dianggarkan bersaiz beratus billion sehingga RM1 trillion.

Semua tauke-tauke dalam ekonomi gelap ini menikmati keuntungan hasil daripada infrastruktur dan kestabilan yang disediakan oleh kerajaan untuk semua rakyat tetapi mereka tidak mahu bayar cukai walau sesenpun.

Dan kini DAP telah menjadi Menteri Kewangan dan berkuasa ke atas kerajaan dan dasar-dasar kewangan negara.

DAP tentunya terhutang budi kepada banyak ahli-ahli perniagaan dan tauke-tauke yang tidak mahu bayar cukai GST, besar kemungkinan sebab itu manifesto yang ditunaikan oleh mereka dahulu ialah menghapuskan GST.

Sebab itu juga saya berpendapat bahawa mereka (PH) dan DAP tidak akan kembalikan GST sebab mereka perlu “melindungi” kepentingan tauke-tauke ini.

Semalam penasihat ekonomi Perdana Menteri Professor Jomo KS berkata dia tidak setuju dengan GST namun mengakui SST adalah tidak baik.

Dia kata dia akan cadang satu sistem percukaian yang bijak.

Jika sistem cukai yang “bijak” ini maksudnya tukar baju dan nama SST tetapi masih mengekalkan lubang-lubang untuk tauke-tauke lari dari bayar cukai, maka ia tidaklah sebijak mana.

Dan jika ia adalah sistem cukai yang menutup semua lubang-lubang supaya tauke-tauke tidak boleh lari dari cukai, maka itulah dia GST walau apapun namanya ditukar.

Berhentilah perbodohkan rakyat. Rakyat sekarang tidak lagi bodoh.

Dan dahulukanlah kepentingan rakyat di hadapan, bukan kepentingan tauke-tauke.

ISHAM JALIL

3 Oktober 2019

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/546075499481312?sfns=mo

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts