Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi
Penasihat Gabungan Mi’raj dan Penasihat Undang-undang UniMAP
Manusia dan jin dicipta oleh Allah Azza Wa Jall untuk beribadat kepada-NYA.
Dalam penciptaan itu Allah Azza Wa Jalla menegaskan penciptaan khalifah atau pemerintah (atau pemimpin yang perlu menegakkan ajaran agama dan memerintah di dunia berpandukannya – al Mawardi) di muka bumi.
Penegasan itu boleh dilihat sebagai dalil untuk menunjukkan bahawa setiap manusia itu mempunyai visi, misi dan objektif baik sebagai seorang individu, pemimpin dalam keluarga, masyarakat, negara atau ummah.
Dalam buku Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan (2018), saya telah merumuskan 5 ciri seorang khalifah. Perlu dinyatakan bahawa para sarjana Islam juga sudah memberikan ciri-ciri khalifah berdasarkan perkiraan masing-masing.
Pandangan saya bahawa ciri-ciri khalifah itu secara ringkasnya ialah seperti berikut:
1. Sebagai pemegang amanah;
2. Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran;
3. Larangan untuk membuat kerosakan;
4. Ketanggungjawaban atau akauntabiliti atas setiap tindak-tanduknya iaitu seorang khalifah tidak memiliki imuniti;
5. Larangan untuk diangkat orang kafir sebagai pemerintah tertinggi iaitu satu dalil yang menunjukkan keimanan merupakan salah satu syarat seorang khalifah.
5 ciri di atas pada hakikatnya menggariskan 5 prinsip governan dalam pengurusan diri, masyarakat mahupun organisasi atau pada tahap yang lebih luas di peringkat negara atau antarabangsa, atau ummah.
Prinsip Governan yang dimaksudkan itu ialah:
1. Beramanah;
2. Berobjektif kepada kebaikan dan pencegahan kemungkaran (jauhi keji dan ketidakadilan);
3. Menghindari kerosakan (kebijaksaan dalam tindakan);
4. Akauntabiliti; dan
5. Keimanan (keyakinan pada 4 prinsip governan di atas).
Prinsip di atas telah disusun mengikut pembinaan nilai yang meningkat. Keimanan atau keyakinan akhirnya menjadi penentu sama ada seorang pemerintah atau pemimpin itu akan sentiasa komited atau beristiqamah dengan prinsip-prinsip governan yang digariskan.
Dari sudut Islam, keimanan kepada Allah Azza Wa Jalla merupakan governan tertinggi untuk menentukan kejayaan seorang khalifah dalam pelaksanaan tanggungjawabnya.
Prinsip di atas In Sya Allah mampu melahirkan pemimpin unggul dan berwibawa dalam apa jua lapangan sekalipun, khususnya dalam kerangka politik.
Keimanan di sini pastinya tidak meninggalkan aspek-aspek yang mendiri dan menyuburkannya iaitu tauhid dan ihsan.