ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN – DR. RAMALAN YUNUS 

419
SHARES
2.5k
VIEWS

Ada pihak yang telah meminta Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur kerana prestasi buruk UMNO-BN dalam PRN. Menurut saya permintaan tersebut agak terburu-buru dan kurang bijak.

Bukankah itu bermakna kita sedang menuruti permintaan golongan yang anti Presiden UMNO? Bukankah itu bermakna kita sedang menuruti permintaan golongan yang bercita-cita mahu menguburkan UMNO?

Apa faedahnya untuk kita memenuhi permintaan mereka? Biarkan mereka terus kecewa dan sakit hati melihat Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal memimpin UMNO.

Mereka itu golongan yang sesat dan sedang berjuang di atas logik yang cacat. Konon memperjuangkan Islam dan Melayu tetapi menderhaka kepada Ulil Amri atau Raja-raja Melayu.

Konon marah dengan DAP kerana mengancam hak dan kepentingan Melayu-Islam tetapi yang cuba dibunuh dan dihapuskan adalah UMNO. Kalau ini bukan cacat logik lalu kita mahu panggil apa?

Atas dasar itu Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu kekal sebagai Presiden UMNO dan BN perlu kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga habis penggal. Jangan lupa bahawa asas kerjasama antara UMNO-BN dan Pakatan Harapan adalah kerana menjunjung titah Tuanku untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Berpegang teguhlah dalam memegang prinsip tersebut biarpun majoriti orang Melayu membenci kerjasama tersebut. Apa salahnya kita dibenci dan dihina kerana menjunjung titah baginda Tuanku daripada kita dipuji dan dipuja kerana menderhaka kepada Ulil Amri atau Raja-raja Melayu?

Dengan menjunjung titah Tuanku di situ ada kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan.

Ini didikan politik yang seharusnya kita berikan kepada seluruh rakyat Malaysia biarpun harga yang perlu dibayar itu terlalu mahal. Peristiwa ini akan menjadi rakaman sejarah sebuah negara bangsa untuk tatapan dan rujukan anak cucu kita di masa hadapan.

Apa yang boleh dibanggakan dengan slogan demi Islam dan demi Melayu tetapi ingkar kepada Ulil Amri dan menderhaka kepada Raja-raja Melayu? Apa ertinya slogan demi Islam dan demi Melayu kalau yang mahu dibunuh adalah sebuah parti terbesar orang Melayu yang sudah begitu besar jasanya kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia?

Dalam berpolitik kita harus berpegang kepada kebenaran sebagaimana yang termaktub didalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara beraja yang Islam menjadi cara hidup dalam bermasyarakat dan bernegara.

Politik kenegaraan adalah satu ibadah yang panjang buat golongan yang beriman dan bertaqwa. Sudah pasti perjalanan yang ditempuhi itu penuh dengan onak dan duri dan sudah pasti cukup menyakitkan. Namun itulah harga sebuah perjuangan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Belajar dari sejarah hebat Khulafaur Rasyidin. Tiga dari kekasih Rasulullah SAW itu terbunuh di tangan umat Islam. Bukan di tangan orang-orang kafir.

Apakah kematian itu sia-sia? Tidak. Malah mereka dijanjikan tempat yang mulia di sisi Rasulullah SAW di akhirat nanti. Oleh itu tidak usah gentar melihat sokongan orang Melayu kepada para penderhaka. Sokongan itu hanya bersifat sementara. Bukan kekal dan abadi.

Pada masa ini mereka hanya sedang leka kerana dibuai dengan permainan persepsi dan sentimen dari para penderhaka Raja-raja Melayu atas nama Islam dan Bangsa Melayu. Apa yang penting di sini ialah apa yang bakal kita wariskan kepada generasi muda di masa akan datang.

Apa yang penting di sini ialah prestasi kita dalam menjunjung prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Apa yang penting di sini ialah membina budaya politik argumentasi berasaskan kepada akal sihat. Bukan politik mencaci maki.

Apa yang penting di sini ialah membina budaya politik yang berasaskan kepada etika dan moral. Apa yang penting di sini ialah membina budaya tata kelola yang berintegriti.

Inilah perkara-perkara yang seharusnya kita wariskan kepada generasi muda pada masa akan datang. Bukan sebaliknya.

Kepada Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi teruskan istiqamah dalam memimpin UMNO-BN. Buat proses pemutihan yang menyeluruh. Singkirkan ahli-ahli parti yang telah mengkhianati parti dan ingkar dengan arahan pucuk pimpinan parti. Tidak ada tempat untuk ahli-ahli yang tidak setia kepada parti. Untuk apa mempunyai ahli yang ramai tetapi tidak berkualiti? 

Dalam masa yang sama teruskan usaha untuk membantu Kerajaan Perpaduan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara. Pejuang yang sejati tidak mengharapkan pujian dari manusia tetapi hanya mengharapkan keredaan dari Allah SWT dan syafaat Rasulullah SAW.

Istiqamahlah sehingga ke hujung penggal. Gunakan masa yang berbaki ini untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Gajah mati meninggalkan gading, 
Harimau mati meninggalkan belang, 
Manusia mati meninggalkan nama…

Semoga nama yang baik terus terakam dalam lipatan sejarah sebuah negara bangsa.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts