Kerajaan Malaysia dengan jelasnya telah mewartakan ketiga-tiga pertubuhan seperti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), pengganas komunis serta Daesh, atau nama lamanya iaitu Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) atau Islamic State of Iraq and the Levant (ISIL) atau IS sebagai pengganas.
Mana-mana pandangan atau pendapat yang menyamakan perjuangan rakyat seperti di Palestin ataupun masyarakat Rohingya di Myanmar, adalah dangkal malah sangat tidak bertanggungjawab.
Sama ada mereka tidak faham erti pengganas dan keganasan ataupun sememangnya mereka dengan sengaja menyokong pertubuhan atau kumpulan pengganas tersebut walaupun sedar akan implikasinya.
Jika tidak tentulah kerajaan khususnya Unit E8, Cawangan Khas Bukit Aman akan membanteras mana-mana kumpulan ataupun individu yang menyokong perjuangan pembebasan Palestin ataupun Rohingya kerana melahirkan simpati dan sokongan terhadap pengganas, termasuk dikenakan tindakan tegas sehingga boleh dipenjarakan seumur hidup.
Di bawah undang-undang sedia ada seperti SOSMA, POTA dan POCA, kesemua aktiviti ini boleh menjadi satu kesalahan kerana;
Mempromosi, merekrut, menyebar, menggalakkan, membantu, melindungi, menyebar dan menganjurkan aktiviti keganasan.
Kesemua perkara di atas adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 130B hingga Seksyen 130Z KANUN KESIKSAAN dan boleh dijatuhi dengan pelbagai hukuman termasuk penjara seumur hidup (Rujukan: https://en.wikipedia.org/wiki/Penal_Code_(Malaysia).
Sebarang penglibatan walaupun dilihat kecil atau minumum seperti dalam kes seorang wanita iaitu Siti Noor Aishah yang berusia 30 tahun, yang didapati bersalah memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas, beliau tetap dijatuhi hukuman berat dan dihukum penjara lima tahun pada April 2017 (Rujukan: https://www.bharian.com.my/node/276179).
Justeru, isu menyokong LTTE oleh beberapa pemimpin DAP termasuk yang bertaraf Menteri seperti M. Kula Segaran dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy, dengan jelas dilihat menyokong pergerakan mengangkat senjata LTTE dan pengasasnya Velupillai Prabhakaran, wajar disiasat.
Termasuk rakaman video beliau memberikan ucapan berkaitan pertubuhan pengganas LTTE yang jelas menyokong dan jika didapati bersalah, mereka wajar dikenakan hukuman keras termasuk dipenjarakan.
Ini kerana kesalahan mereka jauh lebih serius daripada hanya memiliki buku menyokong Daesh seperti Siti Aishah, malah mereka turut menzahirkannya dengan menyertai pelbagai majlis berkaitan LTTE, termasuk memberikan ucapan sokongan (Rujukan: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=136032304446690&id=103158497734071).
Kerajaan wajar bertindak tegas demi kedaulatan dan keselamatan rakyat serta negara dan para pemimpin negara terutamanya DAP, sepatutnya menyambut baik ketegasan PDRM ini dan bukan mengkritik mereka.
Khususnya pasukan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Cawangan Anti Pengganas (Counter Terrorism) (E8), Cawangan Khas Bukit Aman yang bertungkus lumus membanteras keganasan.
Negara wajar menyingkirkan segera mereka yang bersimpati dengan pengganas apatah lagi pemimpin negara yang terlibat secara terus dengan pertubuhan pengganas kerana implikasinya amat besar, tidak kira LTTE, komunis ataupun Daesh.
Apapun, syabas buat warga PDRM khususnya E8 yang bekerja keras siang dan malam memastikan keamanan dan kemakmuran negara terus dikecapi bersama-sama.