CALON MCA DI TANJUNG PIAI STRATEGI MENGUJI KEAMPUHAN MUAFAKAT NASIONAL

415
SHARES
2.4k
VIEWS

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai merupakan medan pertama bagi menguji persefahaman penyatuan ummah selepas termeterainya Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lepas.

Jika PRK sebelum ini masing-masing dalam proses ‘mencerna’ kerjasama masing-masing di mana masing-masing masih belum dapat menerima dengan baik.

Jika PAS dan UMNO mampu menggerakkan jentera dengan berkesan agar majoriti pengundi Melayu keluar mengundi calon MCA di Tanjung Piai maka kemenangan boleh tercipta walaupun Pakatan Harapan semakin giat ‘menabur dedak’ di sana.

PRK ini merupakan medan sebenar untuk menguji penerimaan rakyat terhadap Muafakat Nasional dalam kerangka yang lebih besar dan bukan hanya jalinan kerjasama antara UMNO dan PAS.

Bahkan Muafakat Nasional patut diterjemahkan sebagai sebuah jemaah Islam yang ditadbir secara ‘syura’ untuk jangka masa panjang dan bukannya hanya jalinan kerjasama dua parti terbesar Muslim untuk memenangi pilihan raya.

Maka tidak mengejutkan apabila Muafakat Nasional meletakkan calon dari parti MCA kerana PRK kali ini sangat berbeza dengan PRK yang lain sebelum ini.

MCA juga tidak perlukan ‘WOW factor‘ ataupun keajaiban untuk menang di Parlimen Tanjung Piai.

Jika majoriti pengundi Melayu yang seramai 57 peratus di Tanjung Piai menolak Pakatan Harapan, maka Dato’ Seri Dr. Wee Jeck Seng boleh menang dengan mudah, walaupun majoriti pengundi Cina masih bersama Pakatan Harapan.

Sedikit sahaja pengundi Cina ‘swing‘ dan bersama MCA maka kemenangan dalam tangan Muafakat Nasional.

Jika Muafakat Nasional kalah sekalipun melalui calon MCA di PRK Tanjung Piai kali ini, jawapannya bukan kerana Pakatan Harapan kuat ataupun calon PPBM mereka seorang yang disukai dan disegani oleh orang tempatan.

Tetapi kekalahan mereka semata-mata kerana faktor penolakan orang Melayu terhadap calon bukan Melayu dalam Muafakat Nasional, tidak kira MCA atau apa parti sekalipun.

Sentimen ini yang perlu diperhalusi dan diatasi kelak sekiranya berlaku kerana kalah atau menang tidak memberi sebarang kesan kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Namun dapatan daripada PRK Tanjung Piai cukup bermakna untuk dianalisa sebaik mungkin dan menjadi peluru kemenangan merampas kembali negara.

Semua perincian tersebut dapat dianalisa kelak melalui kertas undi di setiap pusat pengundian yang ditetapkan di Tanjung Piai yang akan menunjukkan peratusan pengundi secara tepat.

Wee Jeck Seng adalah senjata dan strategi ampuh yang digunakan untuk menilai sejauh mana persepsi dan penerimaan rakyat terhadap Muafakat Nasional dan penyatuan ummah.

Justeru, keputusan dari PRK ini amat penting untuk merancang strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Inilah yang lebih penting dan rasional MCA menjadi pilihan di Tanjung Piai.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts