MERENUNGI JAUH KEMENANGAN PRK TANJUNG PIAI IKTIBAR BUAT MUAFAKAT NASIONAL

441
SHARES
2.2k
VIEWS

Ternyata keputusan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang lepas memberi pengajaran bukan sahaja kepada Pakatan Harapan (PH) tetapi juga kepada Muafakat Nasional, khususnya dua parti Melayu Muslim terbesar iaitu UMNO dan PAS.

2. Selain daripada sikap rakyat yang mula muak kepada PH kerana tidak menepati janji, prestasi yang sangat buruk dalam pentadbiran kerajaan dan politik berkepentingan peribadi, kekalahan ini juga adalah akibat daripada tiadanya kesatuan di kalangan parti komponen PH.

PUNCA SEBENAR KEKALAHAN PH

3. Punca kekalahan ini berlaku kerana semasa PRU-14, tiada keselarasan prinsip dan matlamat yang jelas dalam PH. Matlamat mereka hanya satu iaitu menumbangkan BN dan menduduki Putrajaya. Kononnya hanya selepas menduduki Putrajaya barulah boleh dibincangkan perkara-perkara lain.

4. Kini sudah hampir 2 tahun dalam tampuk pemerintahan masih tidak lekang perbalahan antara pimpinan parti komponen PH, yang dilihat tenang beraksi di belakang hanyalah DAP. Oleh kerana tiada visi dan matlamat yang jelas maka cara PH menguruskan perbezaan pendapat adalah melalui Majlis Presiden Pakatan Harapan. Di dalam majlis itu, tentulah kedudukan setiap parti tidak sama. Parti komponen dengan kerusi Parlimen terbanyak tentulah menjadi dominan dalam majlis tersebut. Dalam konteks PH yang menjadi ‘abang besar’ adalah DAP.

5. Oleh kerana itu masih terdapat suara-suara tokoh PH yang mendesak agar YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bertanggungjawab terhadap kekalahan dalam PRK Tanjung Piai dengan meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

PRINSIP DAN MATLAMAT LEBIH PENTING DARIPADA STRATEGI POLITIK

6. Sehubungan itu, Muafakat Nasional perlu mengambil iktibar bahawa prinsip dan matlamat yang jelas sangat penting berbanding mendapatkan kuasa dan memenangi pilihan raya. Kegagalan Muafakat Nasional berpegang kepada perkara ini akan menyebabkan mereka mengulangi kegagalan teruk PH.

7. MUAFAKAT ingin mengingatkan Muafakat Nasional yang menjadi harapan majoriti Melayu Islam di Malaysia agar kembali kepada salah satu piagam Muafakat Nasional iaitu memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera. Ini hanya berlaku sekiranya dominasi Melayu Muslim dalam Parlimen dikembalikan.

8. Lalu apa yang membuat UMNO memberi laluan kepada calon MCA yang jelas sikap penentangannya terhadap pelaksanaan hudud bagi bertanding kerusi Tanjung Piai yang mewakili 57% Melayu Muslim?

9. Bagi BN, ia adalah medan menzahirkan sejauh mana Muafakat Nasional digagaskan UMNO dan PAS diterima masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.

10. MUAFAKAT ingin menegaskan bahawa kemenangan calon MCA tersebut tidak boleh dikatakan sebagai penerimaan oleh masyarakat bukan Islam kerana faktor-faktor sokongan masyarakat Cina adalah pelbagai dan rencam. Tidak dapat dipastikan sama ada sokongan tersebut disebabkan sokongan mereka kepada Muafakat Nasional, atau protes terhadap PH ataupun prioriti mereka meletakkan calon dari kalangan mereka sendiri dalam Parlimen.

11. Kini MCA sudahpun menang. Maka bagaimana caranya UMNO mahu memastikan yang MCA tidak akan menuntut lain-lain kerusi tradisionalnya sebelum ini yang bermajoriti Melayu? Adakah sekiranya calon Melayu Muslim diletakkan bertanding di kawasan majoriti bukan Islam maka calon Melayu Muslim tersebut akan mendapat sokongan yang sama seperti Wee Jeck Seng? BN patut membuat suatu uji kaji bagi menguji tahap penerimaan kaum Cina kepada calon Melayu Islam.

12. Melayu Islam perlu sedar apabila melibatkan kepentingan kaum Cina, maka DAP, MCA dan Gerakan akan senada. Dalam isu-isu tertentu, keberadaan MCA di dalam BN yang didominasi Melayu Muslim tiada gunanya.

13. MCA dan MIC boleh bertanding di kawasan bukan Islam dan berlawanlah dengan DAP. Bagi kawasan majoriti orang Islam, harus orang Islam yang menjadi wakil rakyat.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Naib Pengerusi UMMAH

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts