ABU MAYAT DAN BENDERA: LAGI CABUL DAN CABAR

162
SHARES
406
VIEWS

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

27 November 2019 | 30 Rabiulawal 1441

1. ‘Penyempurnaan’ abu mayat Chin Peng di beberapa lokasi dalam negara ini merupakan tindakan cabul dan cabar yang pastinya didalangi oleh pihak tertentu. Mereka bukan sahaja telah mencabul kedaulatan undang-undang, tapi hakikatnya menjadi antara siri mencabar sensitiviti rakyat yang menolak idealogi dan pendekatan ganas diperjuangkan mendiang.

2. Tindakan pihak-pihak terbabit membawa masuk abu mayat tersebut juga adalah satu pencerobohan serius yang telah melanggar benteng pertahanan dan wajar diletakkan sebagai pengkhianatan terhadap maruah dan keselamatan tanahair ini. Sikap tidak setia kepada negara ini tidak harus dipandang enteng kerana ia merisikokan negara kepada musuh.

3. Kecurangan semakin berleluasa seperti ini nampaknya tidak lagi mengenal medan di mana turut membarah ke lokasi pertandingan sukan. Bendera Malaysia sekali lagi dijadikan sasaran apabila ditukar bintang 14 bucu kepada lima bucu yang jelas menunjukkan tiadanya kesedaran sivik dan pengetahuan kenegaraan.

Seperti lazim, ia cuba diselesaikan dengan sekadar permohonan maaf.

4. Paling dangkal apabila pihak Kementerian Dalam Negeri sekadar beralasan tidak tahu yang hanya menunjukkan kelemahan teramat ketara risikan dan maklumat berkaitan.

Adakah ini bakal menjadi satu lagi episod yang akan ‘mengkambinghitamkan’ penjawat awam terutama pasukan keselamatan negara sebagaimana kes di Kementerian Pertanian?

5. Hakikatnya ‘pendedahan’ di media MalaysiaKini yang dikenali kecenderungan mereka itu merupakan satu isyarat keraian atas ‘kejayaan’, sekali gus memperlekeh pelbagai pihak bermaruah.

Apatah lagi tidak sukar mengenalpasti pihak terbabit atas bukti nyata dari desakan dan tuntutan disuarakan mereka selama ini serta pengiktirafan kepada pihak terbabit.

6. Negara ini sama sekali tidak mungkin melupakan kekejaman Parti Komunis Malaya yang telah membunuh 11,000 rakyat termasuk tokoh-tokoh penting negara semasa di zaman darurat dahulu.

Ia hal yang tidak dapat dimaafkan, setelah pula Chin Peng sepanjang hidupnya tegar tetap mahu meraih kuasa sebagaimana kepercayaan idealogi didokonginya.

7. Tidak ada sekelumitpun darinya permohonan maaf dan penyesalan, bahkan langsung tidak pernah menunjukkan hormat dan taat setianya kepada negara ini.

Sehubungan itu, kami menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan dalang terbabit mesti dihukum memandangkan perbuatan cabul dan cabar seperti ini semakin menjadi-jadi.

“Islam Memimpin Perpaduan”

“Demi Islam”

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts