Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar A. Samad berkata, kegagalan kerajaan menunaikan janji bermakna perhatian rakyat perlu dialihkan.
“Rampasan wang tunai dan barangan berharga yang cuba dikaitkan dengan Najib telah menjadi berita utama dalam usaha untuk menutup kegagalan menurunkan harga minyak, kegagalan menghapuskan tol, kegagalan menurunkan kos sara hidup dan kegagalan-kegagalan yang lain,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan portal Harakahdaily semalam.
Kita sedia maklum mengenai Tabung Pakatan Harapan dan juga hutang negara kononnya mencecah 1.3 trilion ringgit juga adalah alasan untuk mengalih perhatian rakyat daripada menuntut janji-janji yang ditabur sebelum pilihanraya.
Maka inilah yang berlaku kepada kerajaan Pakatan Harapan terkejut dengan kemenangan tidak dijangka ketika PRU-14 serta peralihan kuasa yang sangat baik sehingga dipuji oleh negara luar, namun terpaksa menunaikan janji-janji yang telah ditabur sebagai gula-gula politik pada pilihanraya lepas.
Kita cuma mengharapkan kerajaan beriltizam untuk menunaikan seluruh janji-janji tersebut walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk kejatuhan saham dan nilai ringgit akibat daripada beberapa kesilapan dalam memberi alasan serta kelewatan membentuk kabinet yang hanya selesai pada hari ini.